Pages

Friday, May 29, 2009

Kenyataan TPM Ibarat Membunuh Anak Bangsa Sendiri


Keputusan menghadkan setiap pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 mata pelajaran maksimum mulai tahun depan yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang dipimpin oleh Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah amat keterlaluan kerana menghalang kecemerlangan pelajar untuk lebih maju dengan hanya disebabkan isu remeh yang dibangkitkan iaitu persoalan biasiswa, mengurangkan bebanan ibubapa dan berapa kerat sahaja pelajar yang mengambil lebih 10 mata pelajaran serta berapa kerat sahaja dapat semua A dalam setiap mata pelajaran
Sikap Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat seperti membunuh anak bangsa sendiri kerana kebanyakan pelajar yang mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran adalah dari sekolah agama kerana mengambil mata pelajaran teras dan mata pelajaran elektif. Sebagai contoh seorang pelajar dari Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur atau di Maahad Muhammadi atau mana-mana sekolah aliran agama sudah tentu akan menambah mata pelajaran agama terlebih dahulu kemudian barulah ditambah dengan mata pelajaran lain untuk membolehkan mereka meneroka peluang dalam bidang lain, antara contoh mata pelajaran yang di ambil oleh pelajar sekolah agama seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan al-Quran dan Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiyyah, Tasawwur Islam, Bahasa Arab Tinggi / Komunikasi, Matematik Tambahan, Biologi, Kimia, Fizik, Lukisan Kejuruteraan dan Pendidikan Seni. Keseluruhannya berjumlah 14 mata pelajaran. Sudah terbukti, pelajar-pelajar keluaran sekolah agama berjaya mendapatkan keputusan yang baik walaupun mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran.

Tuesday, May 26, 2009

Tasyabbuh bukan budaya kita

Budaya tasyabbuh atau songsang yang menjadi ikutan umat Islam khususnya remaja ialah budaya penyerupaan iaitu lelaki menyerupai perempuan, begitu juga sebaliknya. Hal ini terjadi ekoran tersebarnya fahamn uniseks iaitu kefahaman yang tidak menyediakan pemisah antara lelaki dan perempuan. Dalam Bahasa Melayu, anak perempuan yang bersifat kelelakian (suka memakai pakaian lelaki dan sebagainya) dipanggil ‘tomboy’ atau ‘pengkid’ manakala perkataan ‘maknyah’ atau ‘bapuk’ atau ‘pondan’ selalunya dirujuk kepada lelaki yang menyerupai perempuan.


Dari segi fiqh, ia bermaksud seorang perempuan yang menyerupai lelaki atau sebaliknya dalam perkara-perkara berikut, pakaian, perhiasan, percakapan dan suara, gaya berjalan dan gerak badan dan mengubah bentuk fizikal badan.

Daripada Ibnu Abbas, “Rasulullah s.a.w. telah melaknat orang lelaki yang menyerupai kaum perempuan dan orang perempuan yang menyerupai lelaki”.

Tuesday, May 19, 2009

Bayt Malizie dizalimi...

Firman Allah taala :
-->
يأيها الذين ءامنوا لا تأكلوا أموالكم بينكم بالباطل
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan harta-harta
kamu di antara kamu dengan jalan yang batil
(Al-Nisa’ 4 :29)
Ya Allah kau kuatlah kesabaran hambamu ini. Sengaja aku mulakan post aku kali ini dengan ayat Allah dari surah al-Nisa ayat 29, kerana ingin aku kongsikan bersama kalian suatu peristiwa yang telah menimpa aku dah ahli rumah aku yang diberi nama Bayt Malizie. Ikutilah kisah aku ini.
Sewaktu aku mula-mula sampai di bumi Jordan bersama Kett dan Jemi, kami disambut oleh Fudhail, Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu’tah (PERMATA) di Lapangan Terbang Queen Alia. Setibanya kami di Bayt Malizie kami disambut oleh Amir dan Izul, ahli Bayt Malizie dengan penuh ramah sekali.
Ribut pasir sewaktu mula-mula sampai di Bumi Jordan

Saturday, May 16, 2009

Final Exam pun boleh ditunda?

Hari ini sepatutnya hari pertama aku menduduki imtihan nihaie @ final exam di bumi Mu'tah. Dengan kondisi badan yang tidak berapa selesa kerana demam selsema, aku kuatkan kaki untuk pergi ke Universiti. Walaupun mata pelajaran ini tidak akan masuk dalam mu'addal @ pointer namun aku tetap pergi juga kerana mata pelajaran ini merupakan mata pelajaran wajib yang di ambil oleh semua mahasiswa Universiti Mu'tah. Apakah mata pelajaran itu? Dinamakan mata pelajaran itu dengan nama 'Ulum 'Askari. Pelajaran yang membincangkan tentang Asas-asas Askar Jordan.

Keadaan di depan bangunan yang bakal aku masuk untuk menduduki peperiksaan agak berserabut kerana di penuhi dengan mahasiswa dari pelbagai negara, kebanyakannya mahasiswa Jordan. Jam menunjukkan sudah pukul 8.45 pagi, sepatutnya peperiksaan sudahpun bermula pada pukul 8.30 pagi. Aku, Kett, Jemi, Awis, Syahid dan Muzammil masih setia menunggu, hampir 45 minit juga aku dan rakan-rakan yang lain menunggu. Akhirnya seorang mahasiswi arab menyapa kami dan menyatakan peperiksaan di tunda. Maka tanpa membuang masa aku dan rakan-rakan ku yang ketika itu duduk di tepi tembok pun segera bergerak pulang. Pertama kali dalam hidupku peperiksaan ditunda ke minggu depan (rasanya di Malaysia perkara sebegini jarang berlaku).

Guru Oh Guru

Dialah pemberi paling setia,
Tiap akar ilmu miliknya,
Pelita dan lampu segala,
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat,
Alur kesetiaan mengalir nasihat,
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat,
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang Presiden sebuah Negara,
Jika hari ini seorang Ulama’ yang mulia,
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa,
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnta mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya,
Di sebuah asekolah mewah di Ibu Kota,
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu,
Dia adalah guru mewakili seribu buku,
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa,
Semakin bererti tugasnya kepada Negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku,
Budi yang diapungkan di dulang ilmu,
Panggilan keramat ‘CIKGU’ kekal terpahat,
Menjadi kenangan sepanjang hayat.

Karya SN Usman Awang
1979

Friday, May 15, 2009

Selamat Hari Lahir Ummi


Bersama Ummi dan Ayah pada Hari Konvokesyenku di Darul Quran

Minggu lepas sahabat aku bertanya kepada aku, “Solihin enta dah wish ke kat mak enta?’, aku bertanya kepadanya “Wish apa ye?”, “ Wish Hari Ibu”, jawab sahabatku. Bukanlah sengaja bagiku tidak mahu mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada Ummi yang tercinta, tetapi pada bulan ini ada hari yang lebih bermakna bagiku untuk kedua ibubapaku, lebih-lebih lagi Ummi. Bagiku bulan Mei terdapat banyak tarikh penting yang perlu aku ingat...

Hari ini merupakan Hari Lahir Ummi yang ke 56, oleh kerana Hari Ibu juga pada bulan Mei, maka aku lebih berminat untuk memilih Hari Lahir Ummi untuk aku ucapkan pada Ummi yang tercinta. Teringat aku ketika aku berhajat untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Iman, Yaman setelah aku gagal dalam temuduga untuk menduduki tempat di Universiti Islam Madinah. Ibu dan Ayah membantah sekeras-kerasnya sehingga aku melukakan hati mereka berdua kerana sikapku yang acuh tidak acuh itu. AlhamduliLlah, Allah masih menyayangiku dan Dia telah menyedarkanku bahawa sikapku itu sudah membawaku ke lembah penderhakaan, -na’udzubiLlahi min dzalik-.

Wednesday, May 13, 2009

BUATMU IBUKU



Ibu bergenang air mataku,
Terbayang wajahmu yang redup sayu,
Qudusnya kasih yang engkau hamparkan,
Bagaikan laut yang tak bertepian.

Biarpun kepahitan telah engkau rasakan,
Tidak pun kau merasa jemu.
Mengasuh dan mendidik kami semua anakmu,
Dari kecil hingga dewasa.

Hidupmu kau korbankan,
Biarpun dirimu telah terkorban,
Tak dapat ku balasi akan semua ini,
Semoga Tuhan memberkati kehidupanmu Ibu.

Ibu kau ampunilah dosaku,
Andainya pernah menghiris hatimu,
Restumu yang amat aku harapkan,
Kerana di situ letak syurgaku.

Tabahnya melayani kenakalan anakmu,
Mengajarku erti kesabaran,
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan,
Menyuluh jalan kehidupan.

Kasih sayangmu sungguh bernilai,
Itulah harta yang engkau berikan,

Ibu, dengarlah rintih hatiku,
Untukmu Ibu…

Wednesday, May 6, 2009

SUDAHKAH ANDA BERSEDIA???

Hampir setengah purnama juga aku tak menulis dek kerana peperiksaan (bukan final exam lagi) yang aku hadapi disamping membantu rakan-rakan menjayakan Karnival Sukan Mahasiswa Malaysia SeJordan kali ke II (KARISMA ’09 Mu’tah) yang baru sahaja menutupkan tirai pada 2 Mei lalu. Dengan bertemakan ‘Saya Datang Kerana Ukhwah”, aku harap tema ini memberi kesan yang mendalam kepada semua atlet-atlet yang terlibat. Letih tidak terkata. Aku AJK kecil ni pun letih apatah lagi Pengarah Program. Apapun tahniah buat seluruh kontijen dari Mu’tah khusus buat ahli bayt aku, Bayt Malizie, kerana berjaya membantu kontijen Mu’tah meraih Emas di samping mempertahankan kejuaraan dalam acara bola sepak dan badminton dari dirampas oleh mantiqah lain.

Bila sebut peperiksaan, maka aku pun bertungkus-lumus untuk memastikan diriku bersedia dengan segala soalan yang bakal keluar dalam peperiksaan. Mengharapkan mendapat soalan bocor, ataupun membuat kajian soalan-soalan dahulu disamping mengjangka soalan yang bakal keluar. Kecewa akan menyelubungi sekiranya soalan yang dijangka keluar tidak menunjukkan batang hidungnya, tapi selalunya soalan jangkaan aku selalu keluar, kadang-kadang sahaja ianya tak menepati sasaran. AlhamduliLlah...