Pages

Friday, January 8, 2010

Ujian Yang Datang Mematangkan Kita

Salam Perantauan,

Demam peperiksaan sudah mula menyerang Mahasiswa Malaysia Jordan sekarang, para mahasiswa sibuk dengan mengulangkaji pelajaran untuk menempuhi Imtihan Nihaie yang bakal tiba disamping diuji dengan keadaan cuaca yang sejuk sehingga mencengkam tulang. Selepas berhempas-pulas di dewan kuliah, para mahasiswa akan diuji pula dengan apa yang mereka pelajari selama satu semester. Begitulah lumrah bila bergelar pelajar, tidak akan terlepas dengan apa yang digelar peperiksaan, begitulah juga hidup manusia di atas muka bumi ini tidak akan terlepas dari ujian daripada Allah untuk menguji sejauh mana kekuatan Iman hamba-Nya.Firman Allah Taala

الم أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا ءامنا وهم لا يفتنون 
ولقد فتنا الذين من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكذبين

Alif Laam Miim, Adakah manusia itu menyangka mereka beriman sedangkan mereka belum diuji, Sesungguhnya telah diuji manusia sebelum kamu dan Allah mengetahui orang yang benar di kalangan kamu dan orang yang dusta..
(Al-'Ankabut 29 : 1-3)
Firman Allah Taala lagi

ولنبلونكم بشيء من الخوف والجوع ونقص من الأموال والأنفس الثمرات وبشر الصبرين الذين إذا أصبتهم مصيبة قالوا إنا لله وإنا إليه رجعون أؤلئك عليهم صلوات من ربهم ورحمة وأؤلئك هم المهتدون

Sesungguhnya kami akan memberikan ujian kepada kamu dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, kematian dan kekurangan buah-buahan, sampaikanlah berita gembira bagi orang-orang bersabar.(iaitu) orang-oranh yang ditimpa musibah (kesusahan) mereka mengucapkan, sesungguhnya kami dari Allah, dan kepada-Nyalah kami akan kembali. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan tahmat dari Tuhan mereka dan mereka jua orang-orang yang diberi petunjuk..
(Al-Baqarah 2 : 155-157)

Ujian yang datang daripada Allah bukanlah untuk mematahkan semangat manusia daripada terus hidup, tetapi sebenarnya adalah untuk mengangkat darjat dan martabat manusia di sisi Allah. Jika hendak dibandingkan antara ujian yang menimpa kita dengan ujian yang menimpa para Rasul, apalah sangat ujian kita ini, ibarat langit dan bumi, oleh itu ujian yang datang menimpa hendaklah diterima dengan penuh sabar, redha dan ikhlas dengan kehendak-Nya. Sesungguhnya Allah itu bukan Tuhan yang menzalimi hamba-Nya, Allah tidak akan memberati hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu dipikul oleh hamba-Nya. Maka ujian yang didatangkan kepada kita adalah suatu ujian yang mampu kita hadapinya dan jika kita tidak mampu menempuhi dengan sepenuhnya maka janganlah kita berputus asa dengan rahmat Allah kerana orang yang berputus asa dengan rahmat Allah ialah orang-orang kafir.

Jika kita kembali kepada sirah Nabi s.a.w., Baginda sendiri mengalami ujian yang amat dahsyat daripada Allah, tetapi Baginda tidak pernah sama sekali berputus asa sebaliknya Baginda semakin rapat dengan Allah dan semakin kuat ketaqwaan dan keimanan Baginda. Mungkin orang akan berkata, "Memanglah tu Nabi", ketahuilah Allah mengutuskan Baginda dengan sifat basyariah iaitu bersifat dengan manusia bukan sifat malaikat. Jika Allah mengutuskan para Rasul bukan dari kalangan manusia ada juga yang akan berkata "Dia tu malaikat, kita ni manusia, mana boleh kita ikut dia". Allah lebih mengetahui apa yang kita tidak tahu. Oleh itu tidak mustahil untuk kita mencontohi manusia yang paling agung dalam sejarah umat manusia sebagai panduan kita untuk menghadapi ujian yang mendatang. Jika para pendakwah dan pejuang agama Allah diuji oleh masyarakat. RasuluLlah s.a.w. dipermainkan oleh kaum kerabat baginda sendiri, Nabi Nuh a.s. dan Nabi Luth a.s. dipermainkan oleh isteri dan anak-anak mereka sendiri tetapi, para Nabi dan Rasul Allah tidak pernah berganjak walau selangkah dalam menyampaikan risalah tauhid walaupun sehingga mengorbankan nyawa mereka sendiri seperti Nabi Zakaria a.s. Maka ingatlah wahai saudaraku, ujian yang datang dari Allah bukanlah untuk menjatuhkan atau melemahkan kita tetapi ianya didatangkan kepada kita untuk menguji sejauh mana keimanan kita dan ianya akan mematangkan kita dalam mengharungi sebuah jambatan yang bergelar kehidupan...

WaLlahu a'lam

0 comments: