Pages

Saturday, January 17, 2015

Semoga Engkau Tenang di Sana Bersama-Nya



Mesej yang datang bertalu-talu di aplikasi WhatsApp ketika aku sedang memandu rupanya membawa khabar yang membuatkan hatiku tersentak. Mata mula bertakung, namun aku menahan airnya dari jatuh. Langkahku agak longlai apabila mendapat khabar itu.

Aku mula mengenalinya ketika dia mula menjejakkan kakinya ke bumi Barakah Darul Quran JAKIM pada tahun 2006. Ketika itu aku tidak begitu rapat dengannya, namun setiap kali aku berselisih dengannya, dia sering tersenyum. Ditakdirkan dia menjadi teman sebilikku. Hari demi hari berlalu, perkenalan kami bertambah akrab sehingga aku dipertanggungjawabkan untuk menjadi naqib usrah. Di hari konvokesyen aku di Darul Quran, aku sempat bergambar dengannya bersama teman usrahnya yang lain.

Terkenang ketika aku pergi menunaikan haji pada tahun 2014, itulah kali terakhir aku bertemu dengannya dan keluarganya di bumi yang penuh barakah, Madinah al-Munawwarah. Dia memperuntukkan satu hari bersamaku untuk membawaku menziarahi ke tempat yang tidak pernah aku ziarahi di sekitar kota Madinah. Dia menjemput aku datang ke rumahnya, hidangan Air Batu Campur yang dihidangkannya di kala panas terik kota Madinah dapat menenangkan tekakku yang haus dek udara yang membahang. Bergurau-senda dengan anak-anaknya Nawwaf dan Nuwairah membuatkan hatiku terhibur. Layanannya kepadaku sungguh istimewa tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata.

Ketika aku menunaikan umrah dari Jordan pada tahun 2009, dia baru tahun pertama di Universiti Islam Madinah, tidak aku menyangka dia menghadiahkan sehelai jubah kepadaku kerana sebelumnya aku hanya berseloroh menyatakan jubah yang dibelinya adalah hadiah untukku. Jubah pemberiannya itu hanya aku hiasi tubuhku ketika terdapatnya majlis-majlis besar dan istimewa.

Dia pernah menjadi teman sebilikku ketika di Darul Quran, dia juga pernah menjadi anak usrahku bersama Muhammad Isa Abu YusryMuhammad Syaukani Ahmad Adnandan Khairy Jaafar. Keluhuran budi pekertinya tidak dapat aku nafikan. Dia seorang yang mudah untuk menghulurkan bantuan, dia seorang yang sering tersenyum, dia seorang yang penyabar, dia juga seorang yang berdedikasi dan bermacam lagi yang tidak dapat aku ungkapkan dengan kata-kata. Aku bersaksi bahawa dia seorang yang cantik budi pekertinya.

Bulan Disember 2014, aku menghubungi dan menyatakan untuk membuat kerjasama dalam menguruskan jemaah umrah. Dia menyatakan persetujuannya, dan jika ada rezeqi aku akan ke Haramain pada bulan Februari 2015. Aku berkira-kira untuk menyerahkan urusan ziarah di kota Madinah di bawah kendaliannya ketika aku ke sana nanti.

Namun kini, semuanya menjadi kenangan dan harapan, Allah lebih menyayanginya. Dia telah pergi buat selamanya bertemu Teman yang Maha Tinggi. Dia pergi meninggalkan seorang isteri dan dua orang cahaya mata yang masih kecil. Nawwaf dan Nuwairah yang tidak faham erti pemergian ayahanda yang mengasihi mereka. Dia adalah guruku, sahabatku dan adikku. Dialah Khairun Nasirin Mohamed Nor. Takziah buat isterinya yang juga rakanku di Darul Quran Ukhti Yusmiza Adam Yusmiza Adam, Sabarlah di atas ujian yang amat berat ini.

Semoga kau tenang di sana wahai adikku di samping Teman yang Maha Tinggi. Daku doakan Syahid menjadi milikmu. 

Gambar : Ketika aku menziarahi rumahnya pada musim Haji 2014 bersama Aba Jid dan isteri serta Amir Rahmat dan keluarga. Almarhum di kedudukan paling kiri sedang memangku Nawwaf, sementara Nuwairah dipangku oleh ibunya di kedudukan paling kanan.


0 comments: