Pages

Tuesday, September 15, 2015

Lebihnya Hari Arafah

Padang Arafah akan menjadi saksi sekali lagi kepada perhimpunan raksasa umat sedunia pada 9 Zulhijjah. Tiada agama selain Islam yang mempunyai program tahunan seumpama himpunan ini. Para jemaah haji pula sekarang sedang mempersiapkan diri, mental dan fizikal untuk hari yang sangat penting bagi ibadah haji mereka.

Mengingat peristiwa haji Wada’ Nabi Muhammad s.a.w., kita bakal mengerti bahawa hari Arafah ini merupakan tarikh penting dalam agama Islam. Pada hari inilah telah disempurnakan agama ini dan dicukupkan segala nikmat. Tarikh ini menunjukkan lengkapnya syari’at Islam, tidak ada yang tertinggal dan tidak ada yang tidak cukup. Islam telah lengkap dengan semua elemen yang sepadu dan holistik. Aspek sosial, ekonomi dan politik telah mempunyai dasar dan prinsip yang diatur mengikut kehendak al-Khaliq pencipta manusia dan sekalian alam. Mungkin inilah hari raya yang bakal dirayakan dengan meriah dan gilang gemilang jika berlaku dalam agama lain.