Pages

Friday, December 25, 2009

Keperluan Menguasai Dua Bidang dalam Satu Masa

Salam Perantauan,

Akses Pemikiran Islam (API) dan Festival of Islamic Scholars Conference sudahpun melabuhkan tirainya, dua progarm yang cukup memberikan banyak input kepada mahasiswa Mu'tah, namun sejauh mana perkara yang telah dicapai dalam dua program tersebut akan hanya berlalu begitu sahaja tanpa memberikan impak kepada mahasiswa Mu'tah. Para mahasiswa telah dihidangkan dengan pengisian yang cukup menarik di dalam kedua program tersebut. Antara pembentang kertas kerja di dalam dua program ini ialah Al-Fadhil Ustaz Othman Hamzah al-Muqri, bekas Imam Besar Masjid Shah Alam dan Prof. Dr. Hussein Mutalib, seorang Profesor kelahiran Singapura dan pernah menjadi Pensyarah Jemputan di Universiti Harvard.

Aku seperti ditampar oleh Prof. Dr. Hussein apabila dia menyatakan bahawa Universiti Singapura menduduki ranking ke 28 universiti terbaik di dunia. Dia bertanya kepada kami, Mana perginya universiti yang terdapat di Malaysia dan Indonesia, adakah universiti Malaysia dan Indonesia tersenarai dalam senarai 200 universiti terbaik dunia?. Satu persoalan yang sukar untuk aku jawab. Mungkin Universiti Malaya, pernah tersenarai antara 100 universiti terbaik dunia, namun ianya hanya bertahan selama setahun. Beliau berkata lagi antara sebab Universiti Harvard menduduki tempat yang pertama universiti terbaik dunia adalah kerana setiap graduan Universiti Harvard diwajibkan menguasai dua bidang yng berlainan dalam satu masa. Mungkin IPT tempatan terdapat program double degree atau major-minor tetapi berapa ramaikah mahasiswa yang dapat menguasainya dengan sempurna. Berapa ramai mahasiswa Islam khususnya yang mengambil Pengajian Islam mahir dalam dua bidang yang berlainan?. Adakah Tekno-Daie (Teknologi dan Daie),Protaz (Profesional Ustaz), Profaz (Profesional Huffaz) dan bermacam-macam istilah lagi tidak akan dapat dicapai jika para mahasiswa khususnya yang mengambil Pengajian Islam masih alpha dengan dunianya sendiri tanpa memikirkan masalah umat.

Harapan untuk melahirkan Tekno-Daie, Protaz dan Profaz memerlukan kerjasama dari semua pihak khususnya mahasiswa Pengajian Islam. Jika Darul Quran JAKIM dengan kerjasama UIAM telah mencuba untuk melahirkan Profaz untuk kegunaan masyarakat di masa akan datang dan hasilnnya akan lahirlah doktor al-Hafiz, jurutera al-Hafiz, ekonomis al-Hafiz dan lain-lain lagi. Kku menyokong penuh program ini namun para profaz seperti ini tidak berfungsi jika hanya boleh mengalunkan ayat Qurat untuk dirinya sahaja tanpa menyampaikan kandungannya kepada masyarakat, sudah tentu matlamat untuk menyampaikan dakwah Islam tidak akan tercapai. Sewajarnya para profaz juga memikul tanggungjawab untuk sama-sama berdakwah. Tekno-Daie pula boleh juga diaplikasikan dengan mereka yang bergelar mahasiswa Islam menceburkan diri dalam dunia teknologi maklumat. Di zaman serba canggih ini, pelbagai media yang boleh digunakan untuk menyebarkan dakwah dengan lebih berkesan.

Jika radio tercipta atas sebab ingin menyebarkan agama kristian, mengapakah kita tidak menggunakan perkara yang sama dalam bidang dakwah,kerana Nabi yang Mulia pernah bersabda "Hikmah adalah kepunyaan orang Islam yang tecicir, jika kamu menjumpainya maka ambilah ia". Oleh itu mempergunakan teknologi yang ada sama ada melalui radio, internet seperti blog, perfileman seperti filem 'Umar Mukhtar : Lion of The Desert' atau menyiarkannya di dalam laman youtube sudah pasti akan mnjanjikan impak yang mendalam. Ini kerana dakwah melalui media massa antara dakwah yang paling berkesan pada masa kini kerana secara purata rakyat Malaysia menghabiskan masa di depan television paling kurang selama 3 jam dalam masa satu hari. Amat rugilah jika para pendakwah masih belum menceburi atau menerokai bidang teknologi ini kerana pulangannya kepada Islam amat besar jika ianya bijak digunakan. Jika David Teo seorang non-muslim berani menerbitkan filem Syurga Cinta sebagai pencetus filem berunsur Islamik walaupun bukannya 100%, mengapakah kita sebagai Muslim sendiri malu untuk memperkenalkan Islam yang syumul kepada masyarakat dengan menggunakan kaedah perfileman. Kita sepatutnya malu dengan jiran kita Indonesia yang lebih terkehadapan dalam menerbitkan filem-filem atau drama-drama berunsur Islamik. Filem seperti Sang Murabbi, Kiamat Sudah Dekat, Wali Songo dan lain-lain lagi sama ada berbentuk filem dan drama sudah banyak sekali di Indonesia sehingga kita mengimport drama mereka untuk ditayangkan di Malaysia kerana kurangnya drama berunsur Islam di Malysia. Aku tidak menyatakan tidak ada lansung filem atau drama berunsur Islam di Malaysia, drama Kelat-kelat Madu yang menceritakan seorang Islam berjaya mengIslamkan seorang yang berfahaman Ateist sedikit sebanyak memberikan kesan dalam diri aku. Oleh yang demikian, para Ulama, Tekno-Daie, Protaz, Profaz dan seluruh umat Islam haruslah memikirkan jalan yang terbaik untuk menyampaikan dakwah Islam dengan bernas dan diterima ramai.

Mungkin mengungkap suatu kata-kata memang begitu mudah, tetapi untuk mengaplikasikan kata-kata tersebut, amat payah sekali. Sejauh mana tenaga kita dikerah untuk menjayakan kata-kata yang terlontar dari mulut kita. Adakah kita seperti burung kakak tua yang diajar bercakap namun tidak mengerti apa yang terlontar dari mulutnya ataupun kita diibaratkan seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya sendiri berjalan bengkok. Tepuk dada tanya iman.

WaLlahu a'lam

0 comments: