PENDAHULUAN
Dalam bidang pendidikan pengetahuan tentang falsafah adalah penting untuk mendorong seseorang bakal guru itu mempunyai kekuatan minda dan bagaimana menggunakan minda secara berhemah untuk mencari dan menjelaskan kebenaran. Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) digubal untuk memberi panduan atau arah tuju untuk menentukan haluan, asas dan inspirasi kepada semua usaha dan rancangan dalam bidang pendidikan. Kementerian Pendidikan Malaysia juga mempunyai misi dan visi yang tersendiri untuk memastikan sistem pendidikan berkualiti. Visi KPM ialah “Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera”, manakala misi KPM ialah “Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara” (“Visi & Misi Kementerian Pendidikan Malaysia,” 2013). Visi dan Misi KPM ini adalah hasil Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri Bil.7 / 2013 yang diadakan pada 27 September 2013 (“Visi dan Misi Baharu KPM 2013,” 2013).