1.0 PENDAHULUAN
Dewasa ini, banyak masalah tingkah laku
atau pelanggaran disiplin dalam kalangan murid sekolah yang tidak pernah
selesai. Masalah ini akan menyebabkan suasana pembelajaran terganggu kerana
suasana disiplin yang baik ialah satu keperluan yang boleh merangsang iklim pembelajaran
yang sihat (Haliza Hamzah & Samuel, 2016). Oleh itu, masalah ini memerlukan
perhatian yang serius dan satu perancangan yang teliti haruslah dilakukan dari
semua pihak khususnya pihak sekolah dalam menangani masalah ini.
1.1 Definisi
Tingkah laku
menurut Kamus Dewan bermaksud gerak-geri, kelakuan atau perangai (Kamus
Dewan Edisi Keempat, 2010). Disiplin pula berasal daripada Latin,
iaitu disciplina yang bermaksud mengajar (Haliza Hamzah & Samuel, 2016). Melalui Kamus Dewan disiplin diertikan
sebagai latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan
patuh pada tatatertib, peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya
berkelakuan baik dan kepatuhan kepada peraturan yang telah ditetapkan (Kamus
Dewan Edisi Keempat, 2010).
Woody (1969) dalam Nordin Tahir (t.t.), menyatakan bahawa semua tingkah laku di sekolah dapat diperlihatkan dalam berbagai bentuk dan ragam murid. Oleh itu, murid tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan suasana yang mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan ianya akan menjejaskan pelajaran dan keupayaan mereka untuk belajar dan berhubung dengan orang lain (Nordin Tahir, t.t.).
Menurut Laporan
Jawatankuasa Kabinet (1979), disiplin membawa maksud kesanggupan seseorang
individu menghormati dan mematuhi undang-undang sama ada disiplin dikenakan
dari luar atau kerelaan sendiri (Kementerian Pelajaran Malaysia, 1979). Dalam konteks bilik darjah, disiplin merupakan satu set pengurusan yang
dikenakan kepada murid-murid untuk mengawal dan mendapatkan tingkah laku yang
diingini (Haliza Hamzah & Samuel, 2016). Justeru itu, Charles (2008) dalam Haliza Hamzah dan Samuel (2016) merumuskan, disiplin bilik darjah sebagai
sebahagian daripada pengajaran yang juga meliputi arahan, komunikasi, struktur
dan pengurusan bilik darjah juga termasuk hubungan dengan ibu bapa murid.
Menurut Haliza Hamzah dan Samuel (2016) masalah disiplin terbahagi kepada dua iaitu destruktif dan disruptif. Destruktif ialah sesuatu yang bersifat menghancurkan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010), manakala disruptif pula ialah sesuatu yang bersifat mengganggu atau menimbulkan gangguan (Kamus Inggeris-Melayu Dewan, 2002).
Kidsvatter menyatakan masalah disiplin dari sudut tingkah laku dalam bilik darjah sebagai tingkah laku bermasalah atau salah laku (Levin & Nolan, 2007). Menurut Haliza Hamzah dan Samuel (2016) dan Feldhusen dalam Levin dan Nolan (2007) menjelaskan bahawa tingkah laku disruptif adalah gangguan yang menjejaskan aktiviti pelaksanaan proses pengajaran dan lancar. Shrigley pula berpendapat bahawa apa jua tingkah laku yang mengganggu pengajaran guru yang bersifat tidak selamat dari segi psikologi mahupun fizikal oleh dimaksudkan sebagai tingkah laku disruptif (Levin & Nolan, 2007). .
Oleh itu, tingkah laku bermasalah boleh dirumuskan sebagai sebarang aksi murid
yang dianggap oleh guru sebagai mengganggu kerana ia menghalang kelancaran dan
kelicinan proses pengajaran dan pembelajaran. Tingkah laku bermasalah juga
boleh merujuk kepada sebarang tindakan yang menjurus kepada tingkah laku
agresif. Justeru itu, tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah
laku yang menghalang guru dan murid-murid lain daripada mencapai pembelajaran
optima (Rosnah A Rajak, Maszuria A. Ghani, Siti Mislia Selamat, &
Nofazilah Mohd Sajat, 2015).
Dalam penulisan ini, penulis cuba membawa
masalah disiplin yang berlaku di dalam bilik darjah. Masalah disiplin tersebut
adalah kerap mengantuk dan tertidur di dalam kelas ketika proses PdPsedang
berlangsung. Menurut Haliza Hamzah dan Samuel (2016), tidur merupakan salah satu masalah
disiplin yang bersifat disruptif yang akan mengganggu pelaksanaan proses
pengajaran dan pembelajaran.
2.0 PERBINCANGAN TINGKAH LAKU
2.1 Maklumat Demografi Murid
Penulisan yang
dijalankan ini hasil daripada pemerhatian penulis kepada seorang murid lelaki
yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur. Murid tersebut
merupakan murid tingkatan tiga yang berada dalam halaqah Hifz al-Quran penulis.
Juzu’ hazafan terkini murid semasa permerhatian dibuat ialah pada Juzu 12. Murid
tersebut telah ketinggalan hampir 2 juzu’ dari silibus yang sepatutnya. Perkara
ini terjadi kerana murid tersebut tidak dapat menghabiskan silibus hafazan
ketika berada d tingkatan dua.
Penulis telah
membuat pemerhatian terhadap murid tersebut selama 5 hari persekolahan bermula
pada 8 Januari hingga 12 Januari 2018. Sepanjang pemerhatian penulis, murid
tersebut kerap mengantuk dan tertidur ketika proses PdPbagi mata pelajaran Hifz
al-Quran berlangsung. Waktu murid tersebut kerap mengantuk dan tertidur adalah
ketika permulaan di antara pukul 7.00 pagi hingga 8.00 pagi. Kelas bagi mata pelajaran
Hifz al-Quran bermula seawal jam 7.00 pagi hingga jam 9.15 pagi pada setiap
hari persekolahan.
Hifz al-Quran
ialah salah satu mata pelajaran yang ditawarkan dalam KBT, ianya menghendaki
seorang murid menghafaz 30 juz al-Quran dalam tempoh lima tahun persekolahan di
sekolah menengah di bawah bimbingan guru tahfiz. Pelaksanaan Hifz al-Quran
merangkumi aktiviti Tahriri al-Quran, Hafazan Baharu, Tahdhir, Tasmi’,
Murajaah, dan Fiqh al-Ayat (Surat Pekeliling Ikhtisas
Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 1 Tahun 2016 - Pelaksanaan Tahfiz
Model Ulul Albab di Sekolah Menengah Kementerian Malaysia, 15 Januari 2016)
Apabila murid
tersebut kerap mengantuk dan tertidur, ia menyebabkan murid lambat untuk memperdengarkan bacaan Tahdhir dan
hafazan baharu (Tasmi’) kepada guru (penulis). Kesan dari lambat
memperdengarkan dua perkara tersebut, pada minggu tersebut murid tidak sempat
untuk Murajaah hafazan lama kepada guru. Selain itu murid juga tidak dapat
memperdengarkan hafazan baharu kepada penulis pada 11 Januari 2018. Perkara ini
terjadi kerana, pada malam 10 Januari murid tidak menghafaz dengan
bersungguh-sungguh dan pada pagi 11 Januari murid mengantuk dan tertidur di
dalam kelas telah mengganggu proses pembelajaran. Menurut Haliza Hamzah dan Samuel (2016) tidak memberikan perhatian ketika proses PdP seperti tidur
merupakan tingkah laku bermasalah di
dalam bilik darjah yang mengganggu pembelajaran murid dan boleh menjejaskan
perkembangan kognitif mereka.
2.3 Analisis Faktor Berlakunya Masalah Tingkah Laku
Selain pemerhatian, penulis menggunakan borang soal selidik yang diadaptasi dan diubahsuai dari kajian Nurfa’izatul Husna Ahmad (t.t.) yang bertajuk Faktor-faktor yang Menyebabkan Murid Kelas 5 Awana Mengatuk Semasa Proses Pengajaran dan Pembelajaran. Murid tersebut telah mengisi borang soal seleidik ini sehari sebelum sesi bimbingan dan kaunseling dijalankan. Semua soalan dalam borang soal selidik ini adalah bersifat soalan tertutup.
Soalan |
Setuju atau tidak |
Adakah anda kerap tertidur ketika halaqah
Hifz al-Quran? |
Ya |
Adakah suasana di dalam surau
menyebabkan anda mengantuk? |
Ya |
Adakah waktu yang diperuntukkan dalam halaqah
Hifz al-Quran terlalu panjang menyebabkan anda bosan dan mengantuk? |
Tidak |
Adakah anda kerap tidur lewat pada
waktu malam? |
Ya |
Adakah dengan adanya banyak kerja rumah
membuatkan anda tidur lewat dan mengantuk di dalam halaqah Hifz al-Quran? |
Tidak |
Adakah anda tidur lewat kerana
melakukan aktiviti lain selain membuat kerja rumah? |
Ya |
Adakah bangun terlalu awal menyebabkan
anda kerap mengantuk dan tidur semasa halaqah Hifz al-Quran? |
Ya |
Adakah persekitaran asrama yang kurang
menyenangkan menyebabkan anda kurang selesa untuk tidur pada waktu malam? |
Tidak |
Adakah kamu kerap duduk dengan cara
menongkat dagu ketika menghafaz al-Quran semasa berada dalam halaqah Hifz
al-Quran |
Ya |
Adakah kamu kerap duduk dengan cara
membongkok ketika menghafaz al-Quran semasa berada dalam halaqah Hifz
al-Quran |
Ya |
Adakah kedudukan kamu duduk ketika
berada dalam halaqah Hifz al-Quran menyebabkan kamu mengantuk |
Ya |
Jadual 1: Faktor yang Menyebabkan murid
mengantuk dan tertidur
Berdasarkan soal selidik tersebut, murid
tersebut bersetuju bahawa faktor yang menyebabkan beliau kerap mengantuk dan
tertidur ketika proses PdPHifz al-Quran adalah kerana kerap tidur lewat kerana
melakukan aktiviri lain selain membuat kerja rumah lebih-lebih lagi pada malam
10 Januari. Menurut National Geographic (2015) waktu yang sesuai bagi remaja berumur 14 hingga 17 tahun adalah
sekitar 8 hingga 9 jam namun Danial Zainal Abidin (2004) menyatakan kadar optima tidur bagi sesetengah orang adalah 5
hingga 6 jam semalam. Tidur optima ialah kadar
yang tidak mendatangkan rasa mengantuk ketika sedang memberikan tumpuan kepada
sesuatu.
Murid yang menjadi pemerhatian penulis
mengakui dalam sesi bimbingan dan kaunseling bahawa beliau masuk tidur pada
pukul 12.30 malam dan bangun tidur pada pukul 5.15 pagi. Dengan tidur hanya 4
jam 45 minit setiap malam menyebabkan murid berasa mengantuk dan kerap tertidur
ketika proses PdPHifz al-Quran. Justeru itu, penulis melihat bahawa faktor
utama yang menyebabkan murid tersebut mengantuk dan kerap tertidur sehingga
tidak dapat memberikan perhatian kepada proses PdPadalah disebabkan tidak cukup
tidur.
Menurut
Muhammad Kamil Abdul Samad (1999) menyatakan bahawa murid yang tidak mempunyai tidur yang cukup akan
menghadapi masalah untuk menumpukan perhatian yang sepenuhnya. Perkara ini
berlaku kerana murid di asrama kerap tidur lewat, sama ada mereka mengulangkaji pelajaran atau menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru. Perkara ini juga berlaku
apabila mereka sengaja untuk tidur lambat kerana bersembang sesama rakan
mereka. Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Triamiyono (2014) terhadap mahasiswa Akdemi Maritim Djajat di Indonesia, lebih dari
50 peratus responden menjawab bahawa mereka rasa mengantuk dan tertidur ketika
sesi PdPkerana tidak cukup tidur dan tidur lewat di waktu malam.
Selain itu, murid juga kerap menongkat
dagu dan duduk dalam keadaan membongkok ketika membaca al-Quran dan membaca
tanpa tumpuan yang sepenuhnya juga akan menyebabkan murid mudah rasa mengantuk
dan tertidur. Menurut Baharin Abu, Othman Md Johan, Syed Mohd Shafeq Syed Mansor, dan
Haliza Jaafar (2007) kaedah pembacaan yang tidak betul akan menyebabkan murid berasa
cepat bosan, kurang berminat dan cepat berasa mengantuk. Selain dari faktor-faktor
tersebut terdapat juga faktor sampingan seperti suasana di dalam surau
menyebabkan beliau merasa mengantuk.
2.4 Aplikasi Model Pengurusan Disiplin
Dalam membendung
masalah tingkah laku tersebut, penulis telah mengaplikasikan Model Pengurusan
Kelompok Kounin. Saya memilih model tersebut kerana model tersebut menekankan
kepadda pengawasan dan penyeliaan yang telitii oleh guru dalam pengurusan bilik
darjah (Haliza Hamzah & Samuel, 2016). Model ini juga memfokuskan kepada
mewujudkan suasana PdPyang kondusif dan tidak berunsurkan hukuman serta
menitikberatkan kepada variasi dari segi strategi dan teknik pengajaran yang
dapat mengekalkan minat dan semangat belajar murid (Haliza Hamzah & Samuel, 2016).
2.4.1 Model Pengurusan Kelompok Kounin
Penulis
menggunakan Model Pengurusan Kelompok Kounin untuk menangani masalah tingkah
laku kerap mengantuk dan tertidur di dalam kelas ketika proses pengajaran dan
pembelajaran. Model Pengurusan Kelompok diperkenalkan oleh Jacob Kounin (1971),
seorang pakar Psikologi Pendidikan dari Wayne State Universiti (Haliza Hamzah & Samuel, 2016). Menurut Haliza Hamzah & Samuel (2016), asas kepada pengurusan disipilin bilik
darjah mengikut Model Pengurusan Kelompok Kounin bergantung kepada pengawasan
dan penyeliaan yang teliti guru terhadap aktiviti-aktiviti di dalam bilik
darjah.
Model
Pengurusan Kelompok Kounin mempunyai beberapa elemen penting iaitu kesedaran dan kepekaan guru dalam mengawasi pergerakan di
dalam bilik darjah pada setiap masa yang disebut sebagai withitness;
menangani lebih daripada satu situasi serentak yang disebut pertindanan atau overlapping;
teguran guru memberikan kesan kepada orang lain yang meliputi 3 ciri iaitu
jelas, tegas dan lancar, elemen ini disebut sebagai kesan gelombang atau ripple effect; kelancaran; dan
pelaksaanaan aktiviti memerlukan pengurusan bilik darjah yang baik.
Penulis
mengunakan model ini untuk mengatasi murid tersebut mengantuk dan tertidur
ketika proses PdPHifz al-Quran. Pada elemen yang pertama iaitu kepekaan atau whitsness,
ketika penulis mula masuk ke dalam halaqah hafazan, penulis mendapati murid
tersebut telah mula tersengguk-sengguk, bagi mengelakkan murid tersebut
tertidur, penulis telah mengarahkan beliau membasuh muka dan mengubah tempat
duduknya ke sebelah meja penulis (guru). Menurut Triamiyono (2014) dengan membasuh muka dapat menghilangkan rasa mengantuk. Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud “Jika salah
seorang di antara kamu mengantuk di tempat duduknya pada hari Jumaat, maka
hendaklah dia bertukar dari tempat itu ke tempat lainnya” (Abu Daud, 2009, hadis no. 1119; Al-Tirmidhi, 1999
hadis no. 526). Jelas dari maksud hadis tersebut dengan mengubah
tempat dapat menghindari rasa mengantuk.
Seterusnya penulis terus memerhatikan beliau, dan penulis
mendapati beliau kembali mengantuk selepas 20 minit proses PdPberlangsung.
Ketika itu, penulis sedang mendengar bacaan Tahdhir dari murid yang lain,
sambil mendengar dan menegur kesilapan murid lain, saya memanggil nama beliau
dengan nada yang jelas. Dalam keaadaan tegas saya meminta beliau melakukan
senaman ringan dan berjalan supaya beliau kembali segar. Saya jua turut
menyatakan kepada beliau dengan nada yang serius akibat jika beliau tertidur
lagi, maka saya akan meminta beliau menghafaz sambil berdiri selama 10 minit. Menurut Triamiyono (2014) dengan menggerakan tubuh seperti senaman ringan dan berjalan dapat
mengalirkan darah secara normal dan menghindari rasa mengantuk. Kesan daripada teguran saya, saya mendapati beliau dan
murid lain memberikan penumpuan kepada hafazan al-Quran.
Saya
juga memastikan agar kelancaran dan pelaksanaan proses
PdPtidak terganggu dan beliau dapat memperdengarkan semua bacaan beliau dan
hafazan beliau kepada saya sebelum tamatnya sesi pembelajaran dan pengajaran.
Selain daripada strategi di atas, saya juga selalu memanggil nama-nama murid
lain yang tidak memberikan perhatian kepada penghafazan al-Quran, kesan
daripada itu, murid lain akan turut kembali memberi perhatian, dan terdapat
juga murid memicit-micit badan rakan mereka untuk menghilangkan rasa mengantuk
dan tertidur.
2.5 Aplikasi Kemahiran Asas Bimbingan Dan Kaunseling
Sebelum penulis
melakukan sesi bimbingan dan kaunseling, penulis perlu memastikan bahawa etika
bimbingan dan kaunseling di ambil kira sebelum, semasa selepas sesi kaunseling
dijalankan. Antara etika yang di ambil kira oleh penulis ialah menghormati murid
terebut dan tiada unsur diskriminasi. Menurut Haliza Hamzah & Samuel (2016), sebagai pembimbing, guru perlu
menghormati diri murid dan menerima tanpa syarat serta (Haliza Hamzah & Samuel, 2016; Mansor
Abu Talib, 2010), sedar tentang keunikan murid serta melayan mereka secara adil tanpa
apa-apa diskriminasi (Haliza Hamzah & Samuel, 2016).
Penulis
sebagai pembimbing juga perlu menjaga kerahsian maklumat yang didapati semasa
proses bimbingan dijalankan supaya tidak disebarkan. Penulis juga perlu sedar
tentang batasan kepakaran dan bertanggungjawab atas segala tindakan yang
dilakukan. Kerahsiaan merupakan teras utama dalam membina kepercayaan dalam
bimbingan dan semua maklumat hanya dibincangkan dalam sesi bimbingan dan
kaunseling sahaja (Haliza Hamzah & Samuel, 2016). Pembimbing atau kaunselor hendaklah
mengetahui had keupaayaan dalam kaunseling (Haliza Hamzah & Samuel, 2016; Mansor
Abu Talib, 2010), serta bertanggungjawab atas segala tindakan yang dilaksanakan oleh
mereka (Haliza Hamzah & Samuel, 2016).
2.5.1 Kemahiran
Prasesi
Sebelum memulakan
sesi kaunseling saya telah menyemak beberapa rekod peribadi murid seperti rekod
hafazan harian murid dan rekod disiplin murid. Oleh kerana sesi persekolahan
baru bermula, maka murid tersebut tidak mempunyai kes disiplin pada tahun
semasa, dan tidak pernah melakukan kes disiplin pada tahun sebelumnya. Selain
itu, penulis juga telah memilih tempat yang sesuai sebelum menjalankan sesi
bimbingan dan kaunseling. Tempat yang dipilih oleh penulis ialah Bilik Ulul
Albab iaitu bilik khas yang perlu ditempah oleh guru sebelum menggunakannya.
Menurut Mansor Abu Talib, (2010); Mohamed Sharif
Mustaffa, Roslee Ahmad, dan Sulaiman Shakib Mohd Noor (2003) tujuan menyemak rekod peribadi murid
adalah untuk membantu kelancaran sesi bimbingan dan kaunseling. Manakala
penyediaan tempat yang tertutup, selesa dan tanpa gangguan adalah untuk
memastikan sesi bimbingan dan kaunseling berlangsung dengan baik dan lancar. (Mansor Abu Talib, 2010; Mohamed Sharif
Mustaffa, 1998; Mohamed Sharif Mustaffa et al., 2003)
2.5.2 Kemahiran
Memberi Perhatian
Sewaktu
memberikan bimbingan, penulis telah memberikan perhatian sepenuhnya dengan cara
mengorientasikan diri secara fizikal dan psikologi kepada murid. Penulis
menggunakan komponen SOLER, akronim yang dipopularkan oleh Egan (2009) dalam
tingkah laku nonverbal yang digunakan ketika memberi perhatian.
SOLER adalah singkatan bagi squarely, menghadap murid secara tepat; open,
postur badan yang terbuka; lend forward, badan yang condong ke
hadapan; eye contact, pengekalan atau tentangan mata dan relax,
sentiasa bertenang tanpa kekok (Egan, 2009).
Mansor Abu Talib, (2010); Haliza Hamzah dan
Samuel, (2016) menyatakan kedudukan pembimbing hendaklah berhadapan dengan murid bagi
mencerminkan penglibatan aktif pembimbing, manakala postur badan pembimbing
yang tertutup seperti menyilang kaki, berpeluk tubuh dan bersandar mencerminkan
bahasa badan yang tidak mengancam, defensif atau menyampah. Menurut mereka
lagi, badan pembimbing yang condong ke hadapan atau ke arah murid mencerminkan
minat membimbing terhadap apa yang sedang dan bakal diperkatakan oleh murid.
Manakala pengekalan atau tentangan mata dan sentiasa berada dalam keadaan
bertenang mencerminkan pembimbing menumpukan perhatian dan mendengar
bersama-sama murid serta untuk memastikan murid merasa selesa dan tidak terganggu
sepanjang sesi bimbingan dan kaunseling .
2.5.3 Kemahiran
Mendengar
Kemahiran mendengar dengan aktif adalah
kebolehan untuk mendengar bagi mendapatkan maklumat dan memahami perkara yang
disampaikan oleh murid (Haliza Hamzah & Samuel, 2016). Semasa sesi bimbingan dan kauseling
berjalan, penulis cuba menjadi pendengar yang aktif dan cuba memahami apa yang
dilontarkan oleh murid tersebut. Penulis juga memerhatikan dan bahasa badan
atau nonverbal murid untuk mendapatkan mesej secara tidak langsung. Daripada
kemahiran mendengar nonverbal, penulis dapat melihat riak muka murid,
kedudukan kepala murid yang memandang ke lantai ketika beliau mengakui bahawa
beliau kerap mengantuk dan tertidur kerana tidak dapat memberikan kesan kepada
prestasi hafazan beliau.
Menurut
Mohamed Sharif Mustaffa et al. (2003); dan Haliza Hamzah dan Samuel (2016) penumpuan terhadap bentuk lisan melibatkan
usaha pembimbing untuk memahami mesej yang disampaikan secara lisan lebih mudah
difahami melalui nada, kata-kata, bahasa, gaya sebutan dan sebagainya. Manakala
tumpuan bukan lisan memerlukan pembimbing mendapatkan mesej secara tidak langsung
melalui penggunaan bahasa syarat yang dipersembahan melalui pelbaga cara (Haliza Hamzah & Samuel, 2016; Mohamed
Sharif Mustaffa et al., 2003).
2.5.4 Kemahiran
Menyoal
Penulis
juga menggunakan kemahiran menyoal dalam sesi bimbingan tersebut. Menurut Mohamed Sharif Mustaffa et al. (2003), pembimbing hendaklah berupaya
mengemukakan sesuatu soalan yang bertujuan untuk memudahkan kefahaman murid
terhadap isi yang dubincangkan. Selain bertujuan untuk memperolehi maklumat
penting, kemahiran menyoal digunakan untuk memfokuskan pemikiran klien kepada
sesuatu perkara yang menjadi agenda utama proses kaunseling tersebut (Ab Aziz Mohd Zin & Yusmini Md Yusof,
2001)
Justeru itu, penulis
telah menggunakan soalan terbuka untuk mendapatkan pengalaman dan pengakuan murid
tentang masalah tingkah laku beliau. Penggunaan soalan terbuka adalah untuk
mendapatkan huraian yang panjang tenatang isu yan dibincangkan. Soalan seperti
“Boleh terangkan kepada ustaz, mengapakah kamu kerap mengantuk ketika berada
dalam halaqah Hifz al-Quran?. Melalui soalan terbuka berbentuk mengkayakan
perkongsian maklumat (Mansor Abu Talib, 2010) penulis dapat mengetahui seperti murid
tidur lewat di waktu malam kerana bersembang kosong dengan rakan-rakan menyebabkan
beliau kerap mengantuk di dalam halaqah Hifz al-Quran. Penulis juga menggunakan
soalan terbuka bagi maklumat spesifik (Mansor Abu Talib, 2010) seperti “Berikan ustaz contoh aktiviti
yang kamu lakukan pada waktu malam sehingga menyebabkan kamu tidur lewat. Dari
soalan ini, penulis dapat menegtahui bahawa murid tidur lewat kerana bersembang
kosong bersama rakan-rakan.
Penulis
juga menggunakan soalan tertutup untuk mendapatkan maklumat khusus. Antara
contoh soalan, “Adakah kamu mengtahui bahawa, tingkah laku tidur di dalam kelas
akan menyababkan prestasi hafazan kamu menurun?. Ketika hendak menjawab soalan
ini, penulis mendapati riak muka murid tersebut berubah dan kepalanya
tertunduk. Menurut Mansor Abu Talib (2010), Murid akan terdorong menjawab dengan
ringkas dan pendek, malahan soalan tertutup juga boleh dijawab hanay
menggunakan tingkah laku nonverbal seperti menundukkan kepala dan
tersenyum.
2.5.5 Kemahiran Mengendalikan Kesenyapan
Kemahiran lain
yang digunakan oleh penulis adalah kemahiran
mengendalikan kesenyapan. Dalam beberapa ketika penulis membiarkan murid terus meluahkan isi hatinya, kadang kala
penulis membiarkan suasana bimbingan berada dalam keadaan senyap tanpa suara. Dengan
menggunakan kemahiran ini, membolehkan murid untuk berfikir dan meneroka secara
mendalam tentang isu yang dibincangkan. Menurut Mohamed Sharif Mustaffa et al. (2003), Kensenyapan memberikan peluang kepada
pembimbing dan murid untuk memikirkan tindakan sewajarnya diambil, juga
memberikan peluang kepada murid untuk bberfikir kembali dengan tenang mengenai
hujahnya.p
3.0 PENUTUP
Hasil tindakan yang penulis lakukan, penulis
mendapati bahawa murid tersebut telah mula menunjukkan tingkah laku yang
positif ketika berada dalam halaqah Hifz al-Quran. Penulis juga telah meminta
rakan guru halaqah yang duduk berhampiran dengan halaqah penulis memerhatikan murid
tersebut. Hasil daripada pemerhatian beliau mendapati bahawa murid tersebut
sudah mula memberikan perhatian ketika berada dalam halaqah Hifz al-Quran.
Tidak dinafikan terdapat juga hari-hari tertentu murid tersebut mengantuk namun
tidaklah seperti minggu pemerhatian penulis.
Perkara
ini juga boleh dibuktikan dengan murid dapat memperdengarkan Tahdhir, Tasmi’
dan Murajaah dengan baik selepas sesi bimbingan dan kaunseling dijalankan
(Rujuk lampiran). Justerru itu, penulis berpendapat bahawa cara pengurusan guru
dalam bilik darjah dan pengurusan tingkah laku murid amat berkait rapat dengan
prestasi murid.
BIBLIOGRAFI
Ab Aziz Mohd Zin, & Yusmini Md Yusof. (2001). Asas-asas Teknik
Kaunseling Dakwah. Jurnal Usuluddin, (14), 165–176.
Abu Daud, S. bin al-A. al-S. (2009). Sunan Abi Daud. Riyadh:
Dar al-Salam lil-Nasyr wa al-Tauzi’.
Baharin Abu, Othman Md Johan, Syed Mohd Shafeq Syed Mansor, &
Haliza Jaafar. (2007). Kepelbagaian Gaya Pembelajaran dan Kemahiran Belajar Murid
Universiti di Fakulti Pendidikan, UTM Johor. Johor Bahru.
Charles, C. M. (2008). Building Classroom Discipline.
Boston: Allyn & Bacon.
Danial Zainal Abidin. (2004). Tidur Mengikut Sunnah Dan Penemuan
Sains. Dilayari pada 13 Februari 2018, dari
https://pts.com.my/berita/tidur-mengikut-sunnah-dan-penemuan-sains/
Egan, G. (2009). The Skilled Helper: A Problem Managemen
Approach to Helping (9th ed.). California: Brooks/Cole, Cengege Leraning.
Haliza Hamzah, & Samuel, J. N. (2016). Siri Pendidikan Guru:
Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku Edisi Kedua. Shah Alam: Oxford
Fajar.
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2010). Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Inggeris-Melayu Dewan. (2002) (Edisi Ketiga). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (1979). Laporan Jawatankuasa
Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran. Kuala Lumpur: Pecetakan Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Levin, J., & Nolan, J. F. (2007). Principles of Classroom
Management: A Professional Decision - Making Model (5th ed.). Boston:
Pearson/ Allyn and Bacon.
Mansor Abu Talib. (2010). Kemahiran Asas Kaunseling (Untuk Para
Kaunselor). Serdang. Diambil dari http://www.vodppl.upm.edu.my/uploads/docs/fem3107_1299483089.pdf
Mohamed Sharif Mustaffa. (1998). Kaunseling Islam. Jurnal
Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia, 4(1), 19–30.
Mohamed Sharif Mustaffa, Roslee Ahmad, & Sulaiman Shakib Mohd
Noor. (2003). Kemahiran Asas Seorang Kaunselor. Dalam Seminar Antarabangsa
Guru-guru Agama Singapura (PERGAS). Singapura: Persatuan Ulama dan
Guru-guru Agama Islam Singapura.
Muhammad Kamil Abdul Samad. (1999). Bagaimana Anda Belajar dan
Cemerlang. Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa.
National Geographic. (2015). Waktu Tidur Ideal Sesuai Usia. Dilayari
pada 13 Februari 2018, dari
http://nationalgeographic.co.id/berita/2015/02/waktu-tidur-ideal-sesuai-usia
Nordin Tahir. (t.t.). Pengurusan Tingkah Laku Murid. Dilayari pada
11 Februari 2018, dari http://www.amaljaya.com/guru/PSIKOLOGI KPLI (1)/7.
TINGKAH LAKU BERMASALAH/PENGURUSAN T LAKU KANAK-KANAK.pdf
Nurfa’izatul Husna Ahmad. (t.t.). Faktor-faktor yang Menyebabkan
Murid Kelas 5 Awana Mengatuk Semasa Proses Pengajaran dan Pembelajaran. Dilayari
pada 12 Februari 2018, dari
https://www.scribd.com/document/153099831/BORANG-SOAL-SELIDIK
Rosnah A Rajak, Maszuria A. Ghani, Siti Mislia Selamat, &
Nofazilah Mohd Sajat. (2015). Modul Pembelajaran: EDUP 2043 Pengurusan Bilik
Darjah dan Tingkah Laku. Cyberjaya: Institut Pendidikan Guru Malaysia.
Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan
1 Tahun 2016 - Pelaksanaan Tahfiz Model Ulul Albab di Sekolah Menengah
Kementerian Malaysia. (2016). Putrajaya.
Al-Tirmidhi, M. bin S. bin M. (1999). Al-Jami’ al-Mukhtasar min
Rasul Allah wa Ma’rifah al-Sahih wa al-Ma’lul wa ma 'alaih al-'Amal.
Riyadh: Dar al-Salam lil-Nasyr wa al-Tauzi’.
Triamiyono, H. (2014). Upaya Mengatasi Rasa Kantuk di Kelas dalam
Proses Belajar Mahasiswa Taruna Akademi Maritim Djadajat. Jurnal Ilmiah
WIDYA, 2(2), 64–69.
Woody, R. H. (1969). Behavioral Problem Children in the Schools:
Recognition, Diagnosis and Behavioral Modification. New York:
Appleton-Century-Crofts.
Februari 2018
0 comments:
Post a Comment