Padang
Arafah akan menjadi saksi sekali lagi kepada perhimpunan raksasa umat sedunia
pada 9 Zulhijjah. Tiada agama selain Islam yang mempunyai program tahunan
seumpama himpunan ini. Para jemaah haji pula sekarang sedang mempersiapkan
diri, mental dan fizikal untuk hari yang sangat penting bagi ibadah haji
mereka.
Mengingat
peristiwa haji Wada’ Nabi Muhammad s.a.w., kita bakal mengerti bahawa hari
Arafah ini merupakan tarikh penting dalam agama Islam. Pada hari inilah telah
disempurnakan agama ini dan dicukupkan segala nikmat. Tarikh ini menunjukkan
lengkapnya syari’at Islam, tidak ada yang tertinggal dan tidak ada yang tidak
cukup. Islam telah lengkap dengan semua elemen yang sepadu dan holistik. Aspek sosial, ekonomi
dan politik telah mempunyai dasar dan prinsip yang diatur mengikut kehendak
al-Khaliq pencipta manusia dan sekalian alam. Mungkin inilah hari raya yang
bakal dirayakan dengan meriah dan gilang gemilang jika berlaku dalam agama
lain.
Bagi jemaah haji yang berwukuf di Arafah pada hari ini, mereka beruntung
kerana hari ini merupakan hari pengampunan dan pembebasan daripada api neraka
untuk mereka. Allah Ta‘ala juga berbangga dengan mereka pada hari ini.
Diriwayatkan daripada ‘Aisyah r.a. bahawa RasuluLlah s.a.w. bersabda: “Tiada
satu hari yang Allah membebaskan hambanya dari api neraka lebih banyak daripada
hari Arafah. Sesungguhnya Dia akan (turun) rendah kemudian berbangga di hadapan
malaikat, lalu berfirman: Apakah yang mereka semua inginkan?” (Riwayat Muslim).
Bagi kita yang belum mendapat rezeki berada di Arafah
pada hari agung ini dengan pelbagai kelebihan yang tersedia, janganlah
berdukacita. Tanamkan azam dan niat yang benar untuk berada di tanah dan tarikh
bertuah ini. Kita juga perlu menyatakan kebersamaan kita dengan para hujjaj
yang wukuf di Arafah dengan melakukan puasa sunat pada tarikh ini. Sebuah
hadith ada menyatakan bahawa: “RasuluLlah
s.a.w. ditanya tentang puasa pada hari Arafah. Jawabnya: Ia menghapuskan dosa
setahun yang lalu dan setahun akan datang” (Riwayat Muslim).
Dosa yang akan diampunkan adalah
dosa-dosa kecil bukannya dosa besar, sebagaimana wudhu’ boleh menghapuskan dosa
kecil. Jika tiada dosa kecil, semoga Allah Ta‘ala akan
mengangkat darjat kita semua. Mereka yang ada kelebihan dan kemampuan melakukan
ibadah korban juga, ia sangat-sangat dituntut. Bagi yang sudah berniat dan
mewajibkan dirinya berkorban maka jangan lepaskan peluang melakukan beberapa
perkara sunat, antaranya elakkan memotong kuku dan rambut bermula awal bulan
Zulhijjah hinggalah binatang korbannya disembelih. Diriwayatkan daripada Ummu
Salamah r.a. bahawa RasuluLlah s.a.w
bersabda bermaksud: “Barangsiapa yang melihat anak bulan Zulhijjah, dan
berniat ingin melakukan korban, maka janganlah dia mengambil (memotong)
daripada rambut dan kukunya” (Riwayat
al-Tirmizi).
Kredit https://twitter.com/hjanhar
0 comments:
Post a Comment