Pages

Friday, October 23, 2015

Hijrah dan 'Asyura


Menyingkapi peristiwa hijrah Nabi s.a.w. 1437 tahun yang lalu, kita mendapat pelbagai petunjuk dan pengajaran yang berharga sebagai pedoman dalam kehidupan. Nabi s.a.w. adalah seorang yang strategis dalam semua tindakannya. Keyakinan dan tawakkal yang Nabi s.a.w. tunjukkan juga menjadi asas agama dalam diri kita bahawa semua perkara di dalam genggaman qadha’ dan qadar Allah, maka kita tidak perlu risau jika kita sudah mengambil usaha dan asbab.

Pada hari ini manusia masih tetap sahaja dengan maksud berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Tujuannya pula berbeza-beza di antara seseorang dengan seseorang lain. Walau apapun variasi tujuan mereka, hijrah tetap mempunyai kebaikan yang tersendiri. Firman Allah dalam surah al-Nisaa’ ayat 100 bermaksud:

“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang melimpah ruah; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah maha pengampun, lagi maha mengasihani”. sesungguhnya
                                                                                                                                               
Maka jika kita berhijrah ke suatu tempat untuk mencari yang lebih baik dalam kehidupan atau rezeki yang banyak dengan disandarkan niat yang baik kerana Allah maka bumi ini sangat luas untuk diterokai. Islam tidak membenarkan kita menyerah kalah sebelum pertempuran, Islam juga melarang kita mati sebelum ajal. Kita di suruh keluar berhijrah ke tempat lain yang lebih baik. Di tempat lain juga mungkin ada rezeki yang lebih banyak. Dan di tempat lain juga mungkin ada ilmu yang tiada di kampung halaman kita. Jadi hijrah ke tempat lain untuk yang lebih baik dan bermanfaat.

Marilah kita fikirkan bersama bahawa setiap kali tibanya tahun baru, bukanlah umur kita meningkat setahun lagi, namun pada hakikatnya apabila tahun baru menjelma sedarkah kita bahawa umur kita makin singkat kerana hampirnya kita kepada kematian. Sudahkah kita semua bersedia bertemu dengan hari kematian kita. Ingatlah kita pada kata-kata Abdullah bin Mas'ud r.a. "Perkara yang paling aku menyesal ialah apabila matahari terbenam, umurku berkurang tetapi amalanku tidak bertambah walau sedikit".
Justeru itu, hijrah juga boleh diertikan sebagai meninggalkan perkara yang keji dan maksiat yang dilarang oleh Allah kepada perkara yang dipuji lagi diredhai Allah. Sepertimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Muslim itu adalah mereka yang memelihara Muslim yang lain dengan lidahnya dan tangannya, dan orang yang berhijrah itu adalah mereka yang meninggalkan apa yang ditegah oleh Allah ke atasnya" (al-Bukhari).

Hijrah dari perkara yang keji dan dimurkai kepada perkara yang dipuji dan diredhai adalah amat dituntut dalam Islam. Allah telah membentangkan kepada kita dua jalan yang perlu kita pilih. Jangan sekali-kali kita memilih jalan yang dimurkai oleh Allah. Namun, jika kita telah tersalah pilih, jangan biarkan diri kita terus-menerus berada di lembah kehinaan. Allah berfirman dalam surah al-Ra’d ayat 11bermaksud:

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri"
Bersempena kedatangan tahun baru 1437 ini juga, marilah kita menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w dengan berpuasa pada hari Tasu’a’ (9hb) dan Asyura’ (10hb) Muharam berdasarkan perbuatan Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa:
“Ketika Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari Asyura’ dan menyuruh berpuasa padanya, mereka berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia adalah hari kebesaran orang Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah s.a.w. berkata: Pada tahun hadapan, jika diizinkan Allah kita akan berpuasa pada hari kesembilan. Dia (perawi) berkata: Sebelum sempat sampai tahun berikutnya, Rasulullah s.a.w. wafat” (Riwayat Muslim).  

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Hendaklah kamu berpuasa hari Asyura’ dan bezakanlah dengan Yahudi, maka puasalah sehari sebelumnya atau sehari selepasnya” (Riwayat Ahmad).

Maka berpuasa hanya pada 10 Muharam iaitu Asyura’ sahaja tidak digalakkan, ia mesti bergandingan dengan sehari sebelumnya atau sehari selepasnya, bahkan terdapat pandangan yang mencadangkan agar berpuasa sebanyak tiga hari iaitu 9, 10 dan 11 Muharram. Tujuannya adalah agar berbeza dengan amalan Yahudi
Walaupun berpuasa pada hari Asyura’ hukumnya adalah sunat, namun agak rugi jika kita meninggalkannya kerana fadhilatnya cukup besar. Maka tidak sepatutnya kita melepaskan peluang yang datang hanya setahun sekali. Fadhilat ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Berpuasa pada hari Asyura’ aku mengira bahawa Allah akan mengampunkan (dosa) setahun sebelumnya” (Riwayat Muslim).

Sekiranya tiada sebarang keuzuran, rebutlah peluang ini tanpa membiarkan hari penting ini berlalu begitu sahaja. Jika kita tidak dapat merebut tingkatan tertinggi jangan pula kita terlepas tingkatan yang paling rendah. Ibn al-Qaiyim menyatakan: “Peringkat berpuasa padanya ada tiga; yang paling sempurna ialah berpuasa juga sehari sebelum dan sehari selepasnya. (Peringkat) Selepas itu ialah berpuasa hari kesembilan dan kesepuluh, ia berdasarkan kebanyakan hadith. Kemudian (peringkat) seterusnya ialah berpuasa hanya pada hari kesepuluh sahaja”.


0 comments: