Pages

Friday, December 25, 2015

Akhlak Pemimpin Muslim

Setiap orang mempunyai fungsi kepimpinan, jika ia tidak menjadi pemimpin diwilayahnya masing-masing, ia tetap akan menjadi pemimpin kepada tubuh badannya sendiri. Melihat betapa besarnya tanggung jawab menjadi pemimpin, maka syarat-syarat dan sifat-sifat akhlak terpuji untuk menjadi seorang pemimpin haruslah dimiliki dan dikembangkan.

Antara contoh akhlak pemimpin adalah seperti yang diterjemahkan oleh khalifah pertama Abu Bakar al-Siddiq RA. Beliau telah menyampaikan pidato sulungnya selepas dilantik menjadi khalifah. Pidatonya sepertimana yang dinukilkan oleh Ibn Hisham (m. 218H) adalah seperti berikut:

“Saudaraku sekalian, sesungguhnya aku telah terpilih sebagai pimpinan kamu dan aku bukanlah yang terbaik diantara kamu, maka jika aku berbuat kebaikan bantulah aku. Dan jika aku bertindak keliru maka luruskanlah aku. Kejujuran adalah amanah, sementara dusta adalah suatu pengkhianatan. Orang yang lemah di antara kamu, sesungguhnya ia adalah kuat di sisiku hingga aku dapat mengembalikan haknya kepadanya Insya Allah.

Sebaliknya siapa yang kuat di antara kamu, maka dialah yang lemah di sisiku hingga aku akan mengambil darinya hak milik orang lain yang diambilnya. Jika meninggalkan jihad di jalan Allah, nescaya Allah akan timpakan kepada mereka kehinaan, dan tidaklah suatu kekejian tersebar di tengah suatu kaum kecuali azab Allah akan ditimpakan kepada seluruh kaum tersebut.

Patuhilah perintahku selama aku mematuhi Allah dan Rasul-Nya. Tetapi jika aku tidak mematuhi keduanya maka tiada kewajiban taat atas kalian terhadapku. Sekarang berdirilah kalian untuk melaksanakan salat semoga Allah merahmati kalian.

Dari pidato tersebut, terdapat tujuh perkara berkaitan akhlak pemimpin yang perlu diserap oleh setiap orang yang memegang tampuk pimpinan. Sama ada pemimpin itu memegang jawatan diperingkat masyarakat bawahan, apa lagi sebagai pemimpin negara iaitu; rendah hati (tawadhu’), mengharapkan dokongan dan bersifat terbuka untuk dikritik, jujur dan memegang amanah, adil dan saksama, komitmen dalam perjuangan, ditaati dan bersikap profesional serta berbakti dan mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Banyak para pemimpin yang mulanya dekat dengan rakyat, turun ke bawah, integrasi kepada kaum yang lemah, tapi selepas mendapat kedudukan, timbullah apa yang disebutkan dalam peribahasa Kalau hari sudah panas, kacang lupa kulitnya”. Abu Bakar al-Siddiq RA. menyatakan bahawa pada hakikatnya kedudukan  pemimpin  tidak  berbeza dengan  rakyat  biasabukan kerana ia menjadi   orang istimewa tetapi hanya sekadar orang yang didahulukan selangkah, diberikan amanah dan mandakepercayaan dari rakyat.

Setiap pemimpin memerlukan dokongan dan sokongan rakyat. Oleh sebab itulah, seseorang pemimpin hendaklah bersikap terbuka untuk menerima kritikan, asalkan kritikan itu sihat dan membina. Janganlah pula orang yang memberikan kritikan tersebut dianggap sebagai lawan yang perlu ditutup mulutnya. Bahkan orang yang berani mengungkapkan kritikan dan menunjukkan kesalahan serta kekurangan seseorang pemimpin, itulah sebenarnya rakyat sejati yang sayangkan tanah airnya sendiri.

Amanah bermakna dapat dipercayai. Memelihara kepercayaan orang ramai adalah salah satu sifat kepimpinan Islam yang penting. Amanah terbahagi kepada tiga iaitu amanah terhadap Allah SWT. terhadap sesama makhluk terutama kepada manusia dan terhadap diri sendiri. Memelihara amanah merupakan urat nadi dalam membina hubungan. Penyelewengan terhadap suatu amanah bukan sahaja merugikan orang  yanterkena  penyelewengan  tersebut,  tetapi  jugia  akan menjadmata rantai yang buruk di dalam kehidupan  masyarakat. Imam al-Ghazali (m. 505H) membahagikan sifat jujur kepada enam jenis; jujur dalam perkataan, kemahuan, niat, memenuhi tekad, perbuatan, menegakkan kebenaran serta menjalankan syari’at Islam.

Adil bermakna meletakkan sesuatu pada tempatnya. Lawannya adalah zalim. Isla meletakkan soal menegakkan   keadila dan menjauhi kezaliman sebagai satu sikap yang asas dan penting. Keadilan hendaklah diterapkan dalam segala bidang kehidupan tanpa memandang orangnya, bahkan juga harus berlaku adil terhadap dirinya sendiri. Abu Bakar al-Siddiq menegaskan bahawa orang yang lemah haruslah dibela dan dilindungi. Orang-orang yang kuat tidak boleh berlaku kejam dan sewenang-wenangnya melakukan apa sahaja semahunya.

Seorang pemimpin haruslah bersikap konsisten dalam perjuangan iaitu terus menerus dan lestari ketika berjuang. Jangan hanya seperti hangat-hangat tahi ayam’, selepas beberapa minit terus mendingin. Pada satu ketika semangat tidak kunjung padam dan tidak kenal menyerah kalah, tapi pada waktu yang lain menjadi lemah dan mudah dijinakkan. Dalam sunnatuLlah suatu perjuangan menegakkan cita-cita dan kebenaran, pasti akan berjumpa dengan halangan dan tentangan.

Seorang pemimpin haruslah mengabdikan dirinya kepada misi yang diamanahkan di atas bahunya. Ia harus mempunyai wibawa terhadap umat yang dipimpinnya. Jangan ketika berhadapan dengan pengikutnya mengangguk-anggukan kepala dan mengatakan ya, karena takut. Sedang apabila di belakangnya mereka mengatakan “tidak. Seseorang pemimpin harus bersedia dan sanggup berundur apabila dia melakukanpenyelewengan dan janganlah terus-menerus mempertahankan kedudukannya.

Kepemimpinan itu bersifat manusiawi, ia mempunyai kekurangan-kekurangan disamping juga mempunyai kelebihan-kelebihannya. Kata putus yang menentukan tindakannya adalah berdasarkan petunjuk Ilahi dan garis-garis yang telah ditetapkan.

Kesimpulannya, Seseorang pemimpin hendaklah sentiasa menghubungkan dirinya kepada Allah, berbakti kepada-Nya, melaksanakan segala sesuatu yang diredhai-Nya dan menjauhi segala hal yang dimurkai-Nya. Seseorang pemimpin juga hendaklah mempunyai sikap keseimbangan dan istiqamah alam setiap situasi dan keadaan serta redha menerima apa yang dapat dicapai, bersyukur apabila mencapai matlamat, dan bersabar menghadapi tentangan demi tentangan.

0 comments: