Pages

Sunday, March 6, 2022

TINGKAH LAKU MURID HIFZ AL-QURAN : KAJIAN KES

1.0 PENDAHULUAN

Dewasa ini, banyak masalah tingkah laku atau pelanggaran disiplin dalam kalangan murid sekolah yang tidak pernah selesai. Masalah ini akan menyebabkan suasana pembelajaran terganggu kerana suasana disiplin yang baik ialah satu keperluan yang boleh merangsang iklim pembelajaran yang sihat (Haliza Hamzah & Samuel, 2016). Oleh itu, masalah ini memerlukan perhatian yang serius dan satu perancangan yang teliti haruslah dilakukan dari semua pihak khususnya pihak sekolah dalam menangani masalah ini.

1.1 Definisi

Tingkah laku menurut Kamus Dewan bermaksud gerak-geri, kelakuan atau perangai (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010). Disiplin pula berasal daripada Latin, iaitu disciplina yang bermaksud mengajar (Haliza Hamzah & Samuel, 2016). Melalui Kamus Dewan disiplin diertikan sebagai latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada tatatertib, peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik dan kepatuhan kepada peraturan yang telah ditetapkan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).

Woody (1969) dalam Nordin Tahir (t.t.), menyatakan bahawa semua tingkah laku di sekolah dapat diperlihatkan dalam berbagai bentuk dan ragam murid. Oleh itu, murid tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan suasana yang mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan ianya akan menjejaskan pelajaran dan keupayaan mereka untuk belajar dan berhubung dengan orang lain (Nordin Tahir, t.t.).

Friday, March 4, 2022

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM, TIMUR DAN BARAT MEREALISASIKAN VISI DAN MISI KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

PENDAHULUAN

Dalam bidang pendidikan pengetahuan tentang falsafah adalah penting untuk mendorong seseorang bakal guru itu mempunyai kekuatan minda dan bagaimana menggunakan minda secara berhemah untuk mencari dan menjelaskan kebenaran. Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) digubal untuk memberi panduan atau arah tuju untuk menentukan haluan, asas dan inspirasi kepada semua usaha dan rancangan dalam bidang pendidikan. Kementerian Pendidikan Malaysia juga mempunyai misi dan visi yang tersendiri untuk memastikan sistem pendidikan berkualiti. Visi KPM ialah “Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera”, manakala misi KPM ialah “Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara” (“Visi & Misi Kementerian Pendidikan Malaysia,” 2013). Visi dan Misi KPM ini adalah hasil Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri Bil.7 / 2013 yang diadakan pada 27 September 2013 (“Visi dan Misi Baharu KPM 2013,” 2013).