-->
Hari Keluarga PERMATA baru sahaja berlalu, keletihan mengelilingi Universiti Mu’tah di bawah teriknya mentari di musim panas dalam acara Explore Race membuatkanku berfikir sejenak. Bagaimanakah keadaan Tentera Islam sewaktu berperang dibawah panasnya matahari ini. Perang Badar al-Kubra yang berlaku ketika Bulan Ramadhan merupakan sebuah tarbiyyah secara langsung dari Allah kepada baginda Rasul s.a.w. dan para sahabat r.hum. Perang Khandak yang menyaksikan baginda Rasul s.a.w. dan para sahabat r.hum. menggali parit di bawah teriknya matahari dan ketika itu berlakunya kekurangan makanan telah membuktikan bahawa iman pada diri para sahabat r.hum. sungguh tinggi nilainya. Itulah kehebatan umat terdahulu yang kuat imannya berbanding umat terkemudian.
Kerjasama antara ahli pasukan ketika berlansungnya explore race amat diperlukan untuk menjana kemenangan, namun jika hanya kerjasama tanpa ada perancangan belum menjanjikan kemenangan dapat diperolehi. Saidina Ali kr.w. pernah berkata yang bermaksud ‘kebenaran tanpa perancangan akan dikalahkan oleh kepalsuan yang ada perancangan’. Oleh itu dalam segala apa jua bentukpun perancangan dalam perkumpulan atau syura amat diperlukan untuk menjana kemenangan sepertimana yang selalu dilakukan oleh baginda Rasul s.a.w. dalam setiap peperangan dan apa jua tindakan, baginda s.a.w. akan mendapatkan pendapat para sahabat r.hum. dan digabungkan dengan pendapat baginda s.a.w. sendiri.
Dalam al-Quran terdapat sepotong ayat yang berbunyi :
وقل جاء الحق وزهق الباطل إن الباطل لكان زهوقا
(Surah al-Isra 17 : 81)
Katakanlah bahawa apabila datangnya kebenaran itu akan melenyapkan kepalsuan, sesungguhnya kepalsuan itu sesuatu yang pasti lenyap.