Pages

Sunday, June 21, 2009

Berkelana di Bumi Syria

Masjid Umawi
-->
Bersawang juga blog aku kes lama tidak menulis, sebaik sahaja habis final exam aku pergi menziarahi adik-beradik seperjuangan di bumi Syria. Tidak berpeluang untuk aku meng'update'kannya di bumi Syria kerana masa banyak dihabiskan dengan melawat masjid-masjid di sekitar Dimasyq, maqam-maqam Nabi-nabi Allah a.s., ahli keluarga Nabi s.a.w., sahabat Nabi s.a.w., dan para wali Allah.
Tiang yang dikatakan bakal turunnya Nabi Isa a.s.
Antara masjid yang sempat aku lawati ialah Masjid Umawi, masjid ini adalah berasal dari gereja di zaman Rom kemudian di jadikan sebagai masjid sewaktu zaman pemerintahan Islam. Masjid ini juga diberitakan akan turunnya Nabi Isa a.s. di salah satu tiangnya. Terkenang aku sewaktu menuntut di Darul Quran, aku membuat kajian tentang Ibnu Taimiyyah, Masjid ini jugalah dikaitkan tentang fitnah (Hadith Nuzul) yang menimpa Ibnu Taimiyyah. Ketika aku membuat kajian ketika itu aku berfikir, bilakah aku bakal menjejaki kaki ke Masjid ini, AlhamduliLlah impian aku tercapai. Tetapi aku masih belum di beri kesempatan menziarahi maqam Ibnu Taimiyyah. Di Masjid ini juga terletaknya maqam Kepala Nabi Allah Yahya a.s. dan maqam (tempat persinggahan) Kepala Cucu Nabi s.a.w., Saidina Hussin r.a. yang syahid semasa Perang Karbala. Mengikuti Haflah Zikir Tariqat asy-Syaziliyyah yang turut diikuti oleh salah seorang Syeih Qurra' Syria, Syeikh Syukri al-Luhfi di Masjid Tahzib tidak dapat ku lupakan.
Antara maqam yang sempat aku ziarahi pula ialah Maqam Nabi Allah Yahya a.s., Maqam Ummul Mukminin Saidatina Ummu Salamah r.ha, Maqam Ummul Mukminin Saidatina Ummu Habibah r.ha, Maqam Kepala Saidina Hussin r.a., Maqam Saidina Muaz bin Jabal r.a., Maqam Saidina Abdullah bin Maktum r.a., Maqam Saidina Bilal bin Rabah r.a., Maqam Sultan Salahuddin al-Ayubi rah.a., Maqam Sultan Nuruddin al-Zenki rah.a., Maqam al-Hafiz Ibn ‘Asakir rah.a. dan beberapa maqam lagi yang terlalu banyak aku ziarahi.
Sewaktu aku di Syria jugalah aku mendapat berita perginya seorang mujahid ulung, Syeikhul Tarbiyah al-Fadhil Ustaz Dr. Fathi Yakan, seorang ulama haraki yang gigih berjuang untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Perginya beliau merupakan satu kerugian yang amat besar kepada gerakan Islam seluruh dunia ibarat hilangnya permata yang berkilauan . Jasa dan tunjuk ajar beliau amat berguna kepada semua pejuang agama Allah. Dengan buku karangannya yang cukup popular iaitu ‘Apa ertinya aku menganut Islam’ jugalah aku mula mengenal apa itu jamaah, apa itu perjuangan dan bermacam-macam lagi mengenai gerakan Islam.
Bila banyak maqam yang aku lawati, bila mendapat berita perginya Ustaz Dr. Fathi Yakan, teringat aku akan kematian yang semakin menghampiriku. Bila umurku makin meningkat maka ajalku semakin hampir. Berlarilah ke mana pun jika ajal sudah ditetapkan ajalku pada hari tesebut maka matilah aku dan ianya tidak akan terlewat sesaat dan tidak terawal sesaat pun. Begitulah ketepatan Allah. Perginya ruh meninggalkan jasad menuju alam lain yang telah dijanjikan oleh Allah, Alam Barzakh, tempat persinggahan sebelum tibanya hari yang tidak memberi sedikitpun kepada aku harta dan anak pinak. Itulah dia Alam Akhirat.
Adakah amalanku sudah cukup untuk pergi menghadap Raja segala raja. Jika Hari Keputraan Agung, para penerima darjah bersiap siaga dan berkemas-kemasan semata-mata untuk menghadap baginda. Bagaimana pula keadaan kita menghadap Allah lima kali sehari? Bagaimana keadaan kita di sana nanti ketika di hadapkan di Maha Agung, Raja segala raja. Adakah kita cukup bersedia. Aku pernah mendengar sebuah cerita yang diceritakan oleh guruku, aku tidak tahu sejauh mana kebenarannya, namun ianya boleh dijadikan pengajaran. Ceritanya berbunyi begini, “Seorang ahli ibadat telah beribadat kepada Allah selama lapan puluh tahun, ketika di akhirat Allah bertanya kepada ahli ibadat tersebut, “Adakah kamu ingin memasuki syurgaku kerana rahmatku atau pahala amalanmu”, jawab ahli ibadat tersebut, “Kerana pahala amalanku”, kemudian Allah membalas, “Jika dihitung pahala amalanmu selama lapan puluh tahun dan sebelah mata yang aku berikan kepadamu, nescaya pahala amalanmu tidak setanding dengan nikmat sebelah matamu yang aku berikan kepadamu”.
Jika amalan selama lapan puluh tahun tidak dapat memasuki syurga bagaimana pula dengan diriku yang terpalit dengan pelbagai dosa. Ya Allah, aku tidak layak untuk memasuki Syurga-Mu, namun aku juga tidak sanggup menanggung azab api Neraka-Mu, oleh itu ya Allah, ampunilah dosaku, terimalah taubatku, sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar…
WaLlahu a'lam

2 comments:

sabiq said...

salam...wah kau kaji ttg ibn taimiyyah? semoga ia suatu kajian yg positif...aku cdgkan baca buku rijal al-fikr wa ad-da'wah...oleh as-syeikh abu hasan ali an-nadwi..aku dah bce..beeessst

sabiq said...

salam...wah kau kaji ttg ibn taimiyyah? semoga ia suatu kajian yg positif...aku cdgkan baca buku rijal al-fikr wa ad-da'wah...oleh as-syeikh abu hasan ali an-nadwi..aku dah bce..beeessst