Pages

Monday, June 29, 2009

Merancang dan Berkorban

-->
Hari Keluarga PERMATA baru sahaja berlalu, keletihan mengelilingi Universiti Mu’tah di bawah teriknya mentari di musim panas dalam acara Explore Race membuatkanku berfikir sejenak. Bagaimanakah keadaan Tentera Islam sewaktu berperang dibawah panasnya matahari ini. Perang Badar al-Kubra yang berlaku ketika Bulan Ramadhan merupakan sebuah tarbiyyah secara langsung dari Allah kepada baginda Rasul s.a.w. dan para sahabat r.hum. Perang Khandak yang menyaksikan baginda Rasul s.a.w. dan para sahabat r.hum. menggali parit di bawah teriknya matahari dan ketika itu berlakunya kekurangan makanan telah membuktikan bahawa iman pada diri para sahabat r.hum. sungguh tinggi nilainya. Itulah kehebatan umat terdahulu yang kuat imannya berbanding umat terkemudian.
Kerjasama antara ahli pasukan ketika berlansungnya explore race amat diperlukan untuk menjana kemenangan, namun jika hanya kerjasama tanpa ada perancangan belum menjanjikan kemenangan dapat diperolehi. Saidina Ali kr.w. pernah berkata yang bermaksud ‘kebenaran tanpa perancangan akan dikalahkan oleh kepalsuan yang ada perancangan’. Oleh itu dalam segala apa jua bentukpun perancangan dalam perkumpulan atau syura amat diperlukan untuk menjana kemenangan sepertimana yang selalu dilakukan oleh baginda Rasul s.a.w. dalam setiap peperangan dan apa jua tindakan, baginda s.a.w. akan mendapatkan pendapat para sahabat r.hum. dan digabungkan dengan pendapat baginda s.a.w. sendiri.
Dalam al-Quran terdapat sepotong ayat yang berbunyi :
وقل جاء الحق وزهق الباطل إن الباطل لكان زهوقا
(Surah al-Isra 17 : 81)
Katakanlah bahawa apabila datangnya kebenaran itu akan melenyapkan kepalsuan, sesungguhnya kepalsuan itu sesuatu yang pasti lenyap.

Walaubagaimanapun perkara ini tidak akan jatuh bergolek dari langit, ibarat pepatah Melayu, ‘yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang’. Untuk mencapai kemenangan, ia memerlukan suatu perancangan yang tersusun rapi dan memerlukan suatu pengorbanan. Contohnya dalam Perang Mu’tah, RasuluLlah s.a.w. telah mengatur strategi dengan mengamanahkan kepada Saidina Zaid bin Harithah r.a. mengepalai tentera Islam, jika beliau menemui syahid, tempatnya akan diganti oleh Saidina Jaafar bi Abi Talib r.a. dan jika beliau juga menemui syahid, tempat beliau akan diganti oleh Saidina Abdullah bin Rawahah r.a. Pengorbanan Saidina Jaafar at-Thoyyar r.a. membunuh kudanya untuk memastikan tapak kaki beliau terus berada di Medan Mu’tah sehingga beliau menemui syahid dalam keadaan kedua tangannya putus demi memastikan panji tentera Islam tidak terjatuh ke tangan tentera Romawi yelah membuktikan bahwa tanpa pengorbanan, kemenangan sukar untuk dicapai.
Aku di Medan Perang Mu'tah
Kisah Saidina Jaafar at-Thoyyar r.a. yang bakal dihadiahkan sepasang sayap di akhirat kelak yang telah membunuh kudanya ketika berlansungnya Perang Mu'tah telah menjadi ilham kepada Tariq bin Ziyad rah.a., panglima Islam yang membuka Andalus untuk membakar kapal-kapal perang demi memastikan tiada tentera Islam lari meninggalkan medan perang seraya berkata “Wahai tentera Allah dihadapanmu adalah musuh, dibelakangmu adalah lautan, jika kamu lari maka kamu akan mati kelemasan, dan jika kamu bertempur, syahid akan menjemputmu, maka marilah sama-sama kita mengalahkan musuh Allah". Strategi yang dirancang dibuat oleh Tariq bin Ziyad telah membuatkan semangat tentera Islam semakin berkobar-kobar untuk berkorban demi memastikan tentera Islam memperolehi kemenangan ataupun syahid di jalan-Nya.
Perancangan dan pengorbanan saling berkait rapat untuk menjana kemenangan. Di dalam sebuah pilihanraya contohnya, perancangan dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara patut dititikberatkan, sama ada di Majlis Tindakan Dun (MTD), Unit Peti Undi (UPU), Polling Agent Counting Agent (PACA), dan sehingga ke culaan, memasang poster, perang saraf dan sebagainya jika di ambil ringan maka kemenangan sukar di raih. Untuk memastikan semua unit bergerak, maka pengorbanan daripada setiap ahli parti amat diperlukan. Jika ahli parti hanya bersikap sambil-lewa, maka kekalahan ibarat memanggil-manggil namanya.
Mengapakah Palestin tidak mendapatkan kebebasan sehingga ke hari ini? Jawapanya adalah kerana OIC dan negara Islam lain hanya bersikap mengutuk dan mengutuk sahaja tanpa melakukan sebarang pengorbanan untuk membantu saudara-saudara Islam disana, maka natijahnya sejak tahun 1948 hinggalah ke 2009, kita telah menyaksikan bahawa tanah Palestin semakin lama semakin mengecil, adakah kita hendak menunggu sehingga seluruh tanah umat Islam Palestin jatuh ke tanah zionis laknatuLlah. Jawapannya ada pada diri kalian.
Kesimpulan dari post aku kali ini, umat Islam haruslah bersatu atas nama Islam bukan atas nama bangsa untuk memastikan Islam dapat ditegakkan di muka bumi. Perancangan dan pengorbanan dari setiap jiwa dan raga umat Islam amat diperlukan kerana itulah jual beli yang paling mahal antara manusia dan Allah.
WaLlahu a’lam

0 comments: