Pages

Tuesday, February 16, 2010

Ada Apa Dengan Kasut?

Salam Perantauan,

Setelah sekian lama menyepikan diri dalam dunia blogger, aku cuba kembali aktif untuk menulis dan menyumbangkan idea yang aku yakin perlu dikongsikan bersama kalian. Kali ini ingin aku berbicara tentang kasut, aku punya kasut berjenama Kangaroo, kasut ini aku membelinya tiga hari sebelum aku meninggalkan bumi Malaysia untuk pergi berjihad ilmu di bumi yang pernah disimbah dengan darah Sahabat, Mu’tah, itupun setelah puas dipaksa oleh ibuku membelinya memandangkan kasut lamaku berjenama Dr. Cardin sudah terlalu lama aku pakai. Kini sudah genap setahun aku di sini dan genap jugalah setahun aku menggunakan khidmatnya di Dataran Syam ini. Dengannyalah aku ke mana-mana, samada ke Syria, Arab Saudi atau menjelajah serata Jordan dialah teman kakiku yang setia. Berbeza pula dengan selipar yang aku miliki, seingat aku selipar yang berada di depan pintu rumah aku sekarang merupakan selipar aku yang ke enam aku selama berada di bumi yang bertuah ini.

Apa yang ingin aku sampaikan ini bukanlah tentang kasut atau selipar yang aku miliki sekarang tetapi pengajaran yang aku ingin kongsikan dengan kalian tentang apa yang aku belajar dari kasut. Walaupun letaknya di kaki namun terlalu banyak aku boleh ambil darinya. Dari dua perbezaan di atas antara kasut dan selipar aku, aku cuba ibaratkannya seperti sahabat atau kawan. Aku tidak kisah jika selipar aku hilang atau rosak walaupun kali keenam, namun kasutku yang satu lagi itu hilang sudah pasti aku akan terasa kehilangannya. Begitu juga seperti kawan dan sahabat. Kita mungkin terdapat ramai kawan tetapi mungkinkah sahabat kita seramai kawan kita. Kita tidak akan terasa kehilangan jika selipar yang kita letak di luar rumah hilang, tetapi jika kasut yang kita letak di dalam rumah hilang, pasti kita akan mencarinya, bagaimana pula jika kasut tersebut kita letakannya di dalam almari di bilik kita. Sudah pasti kehilangannya menjadi kekurangan kepada diri kita. Begitu juga sahabat dan kawan. Berbagai jenis kawan yang kita ada tetapi jika sahabat yang pernah sama-sama mendapat tarbiah dan sama-sama mengenal erti hidup menghilangkan diri, sudah tentu kita itu kita akan merasa sesuatu kekurangan.

Cuba pula kita bayangkan bagaimana aqrabnya Saidina Abu Bakar dengan RasuluLlah, beliau cukup sayangkan baginda hatta ketika para sahabat lain meragui peristiwa Isra Mi’raj, beliau tetap membenarkan baginda, dari peistiwa inilah beliau mendapat gelaran al-Siddiq. Ketika berlakunya peristiwa Hijrah, di Gua Tsur beliau sanggup menutup lubang ular sehingga ular tersebut mematuknya menyebabkan air matanya mengalir kerana menahan kesakitan dipatuk ular lalu air matanya jauh ke pipi RasuluLlah dan menyebabkan RasuluLlah terjaga dari tidur baginda. Begitu sayangnya Saidina Abu Bakar kepada baginda Nabi. Untuk menyampaikan dakwah Islam kita juga perlu mempunyai sahabat yang sama-sama berjuang dalam satu saf yang tersusun seperti satu bangunan yang terbina kukuh.

Sahabat saya pernah berkata, kalau hendak menyelesaikan masalah orang, kita perlu memakai kasutnya. Dengan itu kita mudah untuk menyelesaikan masalahnya kerana kita telah cuba memahami masalahnya. Dengan erti kata lain kita hendaklah menyelami masalah seseorang sebelum kita cuba menyelesaikan masalahnya. Sifat empathi perlu ada untuk menyelesaikan masalah tersebut. Jika seorang doktor didatangi oleh seorang pesakit yang dijangkiti demam denggi, adakah doktor tersebut akan memberi kepada pesakit ubat untuk pesakit baru karang, sudah tentu tidak. Begitu juga seorang pendakwah, dia hendaklah mengenalpasti masalah sasaran tersebut sebelum mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Dalam hal ini, seorang pedakwah perlulah mencari masalah utama bukannya masalah sampingan bak kata Ustaz Hasrizal dalam salah satu kertas kerja yang dibentangkan olehnya di Persidangan Tahunan Mahasiswa Jordan kali ke-4. Para pendakwah hendaklah menyelesaikan real problem bukannya tertumpu kepada prensenting problem. Jika real problem dapat diselesaikan maka prensenting problem akan turut selesai.

Satu lagi kisah kasut yang ingin aku kongsikan bersama ialah ketika peristiwa Isra Mi’raj, Sebelum RasuluLlah bertemu Allah untuk menerima satu amanah besar yang wajib ditunaikan oleh setiap umat manusia, RasuluLlah telah membuka selipar baginda sebagai mencontohi Nabi Musa yang membuka seliparnya ketika di Sinai, akan tetapi Allah telah melarang baginda daripada membukanya seraya berfirman “Sesungguhnya tapak kasutmu itu wahai Muhammad lebih mulia dari seluruh dunia dan segala isinya”. Cuba kita fikirkan jika tapak kasut lebih mulia dari seluruh alam dan segala isinya bagaimana pula dengan batang tubuh baginda sendiri. Sudah tentu berjuta kali ganda jika hendak dibandingkan dengan kita. Sayangilah RasuluLlah lebih dari diri kita sendiri sepertimana RasuluLlah menyanyangi umatnya walau ketika baginda di penghujung kehidupannya.

WaLlahu a’lam

0 comments: