Pages

Thursday, February 25, 2010

Gajah oh Gajah!

Salam Perantauan,

Terkenang ketika kali pertama ke Zoo Negara melihat ragam bermacam jenis haiwan di sana. Ketika itu aku sedang belajar di Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI) al-Huda di Segambut Bahagia. Di sini aku mula mengenal tulis-baca. Melihat telatah haiwan-haiwan tersebut sungguh menyeronokan jiwa kanak-kanakku ketika itu. Teringin rasanya ingin menjadi kanak-kanak semula yang setiap harinya di penuhi dengan gelak-tawa dan bermain. Ketika di Zoo Negara, aku cukup tertarik dengan telatah gajah yang cukup akur mengikut kata penjaganya, disuruh duduk ia duduk, disuruh bangun ia bangun. Perkara ini tidak dapat boleh dilakukan sekiranya ia tidak mendapat latihan yang cukup rapi. Gajah merupakan sejenis haiwan yang sering dijolokan dengan negara Thailand dan menjadi kebanggaan bagi rakyatnya. Negara kita dijolokan dengan apa pula?


Aku ketika Karnival Sukan PASTI 1990

Bila bercerita tentang gajah, aku teringat kata-kata yang dilontarkan oleh Ustaz Hasrizal mengenai ‘simptom anak gajah’. Jika diperhatikan gajah yang diikat pada kakinya hanya akan membiarkan rantai tersebut terus membelenggu dirinya walaupun gajah yang bertubuh besar tersebut boleh melepaskan dirinya jika ia merentap terus rantai yang berada di kakinya. Perkara ini terjadi kerana sewaktu gajah tersebut baru dilahirkan ia sudah mula dirantai. Kehidupannya sewaktu kecil yang ingin meneroka dunia terbatas apabila ia berkali-kali cuba melepaskan diri tetapi gagal. Simptom inilah yang membelenggu anak gajah tersebut apabila ia menjejaki umur remaja seterusnya dewasa. Jika kita kaitkan degan kehidupan kita seharian, adakah sifat atau simptom tersebut ada pada diri kita? Jika ada, maka sama-samalah kita menghindarinya. 

Cerita anak gajah ini aku nak kaitkan dengan suatu cerita. Cerita yang ingin dikongsikan bersama adalah mengenai seorang pendakwah yang berjiran dengan seorang pembuat maksiat. Sudah bermacam cara pendakwah tersebut cuba menyeru dan mengajak jirannya supaya bertaubat tetapi dakwah tersebut langsung tidak diendahkan oleh jirannya. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, jirannya masih tega membuat maksiat. Akhirnya, si pendakwah tersebut sudah mula jemu untuk berdakwah kepada jirannya. Seterusnya pendakwah tersebut bertemu dengan gurunya dan menceritakan keadaannya dan jirannya. Gurunya seraya menjawab “Jika dia boleh tega dengan maksiatnya, kenapa tidak engkau terus tega berdakwah kepadanya”. Di sini aku hendak menyatakan bahawa dalam apa jua usaha kita sama ada dalam berdakwah atau menuntut ilmu sifat putus asa hendaklah dihindarkan kerana ianya merupakan suatu sifat yang melemahkan kita seterusnya umat Islam, janganlah seperti gajah yang sudah putus asa untuk melepaskan dirinya daripada terus dibelenggu oleh rantai. Jika musuh kita yang nyata, syaitan tidak pernah berputus asa menghasut kita membuat kemaksiatan mengapa tidak kita. Fikir-fikirkan.

Selain itu, janganlah kita seperti orang buta yang menafsirkan keadaan gajah. Jika terdapat empat orang buta, yang pertama memegang kaki gajah, dia akan menyatakan bahawa gajah seperti tiang, datang pula yang kedua memegang telinga gajah, dia akan menyatakan bahawa gajah seperti kipas, yang ketiga pula memegang badan gajah, dia akan menyatakan gajah seperti dinding kemudian datang pula yang terakhir memegang di belalai gajah, dia akan menyatakan gajah seperti getah paip. Bagaimana pula kita yang mengaku sebagai umat Islam menafsirkan Islam itu sendiri? Adakah kita menafsirkannya mengikut hawa nafsu kita. Apa yang memberi keuntungan kepada kita, kita ambil, tetapi apa yang tidak kena dengan selera nafsu kita, kita tinggalkan. Adakah kita sedemikian? Adakah cukup sempurna Islam kita hanya dengan menunaikan Rukun Islam tanpa memperdulikan tentang kenegaraan, ekonomi dan lain-lain? Adakah Islam hanya digunakan pada perkara yang melibatkan munakahat? Di mana pula perginya hukum hudud, qisas dan ta’zir, sedangkan perkara itu semua terdapat dalam al-Quran dan al-Hadith. Sedarlah kita, terlalu banyak hukum-hakam agama Islam yang kita tinggalkan sedangkan Nabi yang mulia telah berpesan agar berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Hadith untuk menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat sana.

Tanggal 12 Rabi’ al-Awal tahun Gajah, hari Isnin telah lahir seorang manusia ulung yang membawa rahmat ke seluruh alam yang juga telah menyelamatkan dunia dari segala kebejatan dan kemaksiatan kepada kehidupan yang diredhai Allah. Ketika itu telah datangnya tentera bergajah Abrahah dari Yemen untuk menyerang seterusnya meruntuhkan rumah Allah, Kaabah. Allah maha berkuasa, tentera bergajah Abrahah akhirnya dikalahkan dengan burung Ababil yang membawa batu dari neraka yang menyebabkan tubuh mereka seperti daun-daun yang dimakan ulat. Cerita ini telah dimuatkan dalam surah yang diberi nama Surah al-Fil yang bermaksud gajah yang terkandung di dalam al-Quran. Musailamah al-Kazzab pernah cuba mencabar Alah Taala dengan mencipta sebuah surah yang diberi nama al-Fil juga tetapi ianya terlalu lucu untuk diperdengarkan.

Berpatutan dalam bulan kelahiran Nabi ini, aku hendak mengajar kita sama-sama berfikir, cukupkah dengan hanya menyambut Maulid RasuluLlah untuk menunjukan tanda cinta kita kepada Nabi? Jika ya adalah jawapannya, Abu Lahab lebih dahulu menyambut Maulid Rasul sebelum kita. Dia merupakan bapa saudara Nabi yang paling gembira ketika baginda Rasul dilahirkan. Saban tahun dia meraikan hari kelahiran baginda. Jika dihitung cintanya kepada baginda sebelum kedatangan Islam, maka tidak ternilai cintanya kepada baginda. Maka jawapannya bagi soalan aku sebentar tadi adalah tidak, kerana kita tidak cukup hanya meraikan Maulid RasuluLlah sedangkan pada waktu yang sama suruhan baginda kita tinggalkan, larangan baginda kita lakukan tanpa ada sedikitpun perasaan malu dan segan kepada baginda. Kita kata kita cintakan dan sayangkan RasuluLlah, tetapi Hadith baginda kita tolak. Kita kata kita sayangkan baginda, di mana kita sewaktu Nabi yang mulia dicaci dan dihina? Dimanakah kita ketika perkara itu berlalu. Oleh itu marilah sama-sama kita menghitung dan menilai diri kita, sejauh mana kita cintakan Allah dan Rasul-Nya

Firman Allah Taala
من يطع الرسول فقد أطاع الله
Barangsiapa yang mentaati RasuluLlah maka sesunggunya dia mentaati Allah
(al-Nisa 4 : 80)
Sabda RasuluLlah
لا يؤمنوا أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده وولده والناس أجمعين
Tidak (sempurna) Iman seseorang kamu sehingga kamu mencintai diriku lebih dari kamu mencinta kedua ibubapamu, anak-anakmu dan manusia seluruhnya 

Selamat menyambut Maulid RasuluLlah 1431
Kerana Dirimu Begitu Berharga
WaLlahu a’lam 


1 comments:

Umm 'Umar said...

PASTI AL HUDA SEGAMBUT?
Ummi Safinah??