Pages

Monday, February 22, 2010

Sekilas Bersama Haiwan di Lautan

Salam Perantauan,

Sejak aku menjejaki ke Dataran Syam ini, hanya beberapa kali aku menikmati makanan laut kerana kedudukan geografinya dan kebiasan penduduk di sini jarang untuk menikmati makanan laut. Setiap hari menu utama di rumah aku ialah ayam. Kali terakhir aku menikmatinya ketika cuti semester awal bersama rakan-rakan pergi berkelah di Aqaba, bemandi-manda di laut merah. Dari Aqaba aku dapat melihat Sinai Mesir dan Elat di Palestin 1948 yang kini dijajah oleh rejim Israel laknatuLlah. Ketika inilah aku dapat merasai sepuasnya makanan laut yang sudah hampir setahun aku tidak berjumpa dengannya. Udang, sotong, ketam tidak lupa juga pada ikan. Ada yang dibakar, ada yang digoreng dan ada juga dijadikan Tom Yam, itulah dia menu utama kami ketika perkelahan tersebut.

Kerang yang hidup di dasar laut walaupun ianya kecil, namun ia tetap banyak memberi hikmah yang aku boleh dapat daripadanya. Cuba kita bayangkan jika isi kerang tidak dijaga kulitnya maka sudah pasti isinya tidak dapat bertahan lama ketika badai di lautan melanda. Kulitnya pula masih tega menjaga isi walaupun apa jua terjadi, ketika badai datang melanda, ia tidak sedikit pun memberi efek kepadanya bahkan ia menjadi semakin keras, semakin kuat badai melanda lautan, semakin keras kulitnya mempertahankan isinya, begitulah tabiat kehidupan kerang dan haiwan yang mempunyai cengkerang yang lain. Tidak salah jika aku ingin kaitkan dengan kehidupan seorang pendakwah yang telah dan bakal melalui jalan sukar di jalan dakwahnya. Segala onak dan duri, ujian dan dugaan, makian dan celaan sedikitpun tidak memberi kesan kepada usaha dakwahnya, bahkan keazamannya semakin kuat, api keihlasannya semakin menyala untuk menyebarkan dakwah Islam.

Para pendakwah hendaklah menghindari tabiat seekor udang yang cepat melatah. Walaupun si udang berjalan penuh berhati-hati kehadapan namun apabila ia diuji atau diancam sesuatu sifatnya yang melompat kebelakang seterusnya melarikan diri. Bayangkan jika para pendakwah juga begitu, sudah pasti dakwah itu akan lesu, aku tidak kata berundur itu satu kesalahan, jika berundur untuk mengatur strategi tidak ada salahnya, tetapi sifat udang yang berundur dan melarikan diri sepatutnya tidak ada dalam kamus seorang pendakwah. Begitu juga dengan tabiat seekor sotong yang akan menyimbahkan dakwatnya apabila ia terasa terancam. Jika seorang pendakwah yang diuji dengan sasaran yang membangkitkan amarahnya, adakah dia juga akan menghamburkan kata-kata yang tidak sesuai dalam usaha dakwahnya, sudah tentu matlamat dakwah tidak akan tercapai jika sifat amarah berada dalam jiwa para pendakwah.

Ikan, kesukaan aku asam pedas, namun kerana bahan-bahan untuk membuat asam pedas sukar didapati di Dataran Syam ini, tambahan lagi kesukaran mendapatkan ikan segar menyebabkan kerinduanku kepada asam pedas bertambah -sedang menunggu janji seseorang yang ingin memasak untuk aku makanan kegemaranku, jangan marah kepada yang berkenaan, gurauan semata-. Jadilah kita seperti ikan di laut, walaupun hidup di lautan yang masin airnya, namun ketika kita ingin memasaknya kita tetap akan meletakan garam. Hikmahnya, janganlah seorang pendakwah itu terkesan dengan keadaan sekelilingnya, dia tetap akan terus berdakwah walaupun dia dicampakan ke sebuah tempat dipenuhi maksiat. Maksiat tersebut tidak sedikitpun terkesan di hatinya.

Pepatah Melayu ada mengatakan ‘Seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus’. Dari pepatah ini, aku dapat belajar sesuatu. Walaupun ketam berjalan mengiring ia tidak berputus asa mengajar kebaikan kepada anaknya supaya berjalan lurus. Sehinggalah anak ketam menjadi bapa ketam, ia tetap tidak boleh berjalan lurus. Hikmah yang aku boleh pelajari di sini ialah, si bapa ketam tidak pernah kenal putus asa dalam mengajar sesuatu kebaikan kepada anaknya dan keluarganya. Sedarkah kita bahawa si ketam telah mengamalkan konsep ‘islah nafsak wad’u ghairak’. Satu lagi hikmah yang aku boleh ambil dan dikongsikan bersama kalian adalah, sepertu kata Saidina Umar “Lihat apa yang dikata bukan orang yang berkata”, dalam dakwah Islam, para pendakwah hendaklah sentiasa menerima segala kritikan dan teguran walaupun datangnya dari seorang kanak-kanak kerana sifat terbuka ini akan membuatkan para pendakwah senang menyampaikan dakwahnya kepada masyarakat.

WaLlahu a’lam

p/s : Inilah hanyalah satu analogi, sesungguhnya haiwan-haiwan yang aku sebutkan di atas adalah makhluk Allah yang taat kepada-Nya.

0 comments: