Pages

Sunday, July 5, 2009

Mencari unta yang terlepas dari talinya...


Sabda RasuluLlah s.a.w. :
خيركم من تعلم القرءان و علمه
“Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya”.
(Bukhari, Abu Daud,Tirmidzi dan Ibn Majah)
Hadis ini mungkin tidak asing lagi pada para penghafaz al-Quran, kerana aku yakin dan percaya mereka telah mempelajari hadis ini ketika mereka menghafaz al-Quran. Namun janganlah para ahli Quran ini berbangga dengan al-Quran yang sudah dihafaznya jika mereka tidak dapat menjaganya dan tidak ada usaha untuk menjaganya. Janganlah ada di dalam hati penghafaz al-Quran bahawa mereka boleh memberi syafaat kepada kaum keluarganya kerana mereka masih belum mengetahui adakah mereka akan dibenarkan memasuki syurga atau tidak. Bukanlah aku hendak menolak hadis RasuluLlah yang menyatakan bahawa ahli Quran dapat memberi syafaat kepada kaum keluarganya, tidak mungkin aku akan menolaknya, maksud aku ialah para penghafaz al-Quran dalam masa dia menghafaz al-Quran dia membuat maksiat, berapa ramai para penghafaz al-Quran yang tega dalam keadaan bergelumang dengan dosa, mana mungkin baginya untuk memberi syafaat sedangkan dirinya belum tentu lepas di akhirat sana.
Menjaga al-Quran yang telah dihafaz bukanlah suatu perkara yang mudah, jika orang berkata bahawa menghafaz al-Quran itu susah, sebenarnya menjaga al-Quran yang telah dihafaz adalah dua kali lebih susah berdasarkan sabda RasuluLlah s.a.w. :
تعاهدوا هذا القرءان فوالذي نفس محمد بيده لهو أشد تلفتا من الإبل فى عقولها
“Jagalah al-Quran kamu, Demi nyawa Muhammad ditangan-Nya, mendapatkannya (al-Quran yang telah hilang) adalah lebih susah daripada unta yang terlepas dari talinya”.
(Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis di atas, sesungguhnya menjaga al-Quran yang sudah dihafaz bukanlah suatu perkara yang mudah namun ianya bukan suatu perkara yang mustahil kerana telah dibuktikan bahawa kerana ia telah dibuktikan bahawa semakin ramai para penghafaz al-Quran yang dapat menghafaz a-Quran secara baik dan dapat menjaganya daripada luput dari ingatan. Bermacam cara untuk menjaga al-Quran agar ianya tidak hilang dari ingatan. Sekiranya satu juzu’ al-Quran sudang hilang dari ingatan maka masa yang diperuntukkan untuk mendapatkannya semula ada dua kali lebih panjang dari masa menghafaz. Jika seseorang memperuntukkan masa dua minggu untuk menghafaz satu juzu’ maka sebulan pula akan diperuntukkan jika satu juzu’ tadi hilang dari ingatannya. Untuk memastikan al-Quran tidak hilang dari ingatan para penghafaz al-Quran hendaklah melakukan pengulangan secara ghaib paling kurang 3 juzu’ sehari dan ianya dibuat secara konsisten. Walaubagaimanapun teknik mengulang bacaan al-Quran bukanlah suatu yang tetap, ianya bersifat fleksibel.
Kebanyakan Maahad Tahfiz di Malaysia menggunakan sistem sabak, pra sabak dan mokhtar, sepanjang aku berada di empat Maahad Tahfiz, aku rasakan inilah teknik yang terbaik untuk menjaga al-Quran, namun di sana masih terdapat banyak teknik untuk menjaga al-Quran. Rotan juga sudah menjadi perkara biasa bagi sesiapa yang lupa akan ayat yang telah dihafaznya. Ketika aku di Maahad Tahfiz dahulu, bermula dari rotan setebal jari kelingking hinggalah ke batang penyapu, semuanya pernah menghinggap ke badanku, peritnya tidak terkata, namun untuk mengingati al-Quran aku relakan jua, tapi sampai sekarangpun aku masih tidak dapat menjaga al-Quran dengan baik. Untuk mengingati keseluruhan tiga puluh juzu al-Quran tidak mungkin berlaku dalam suatu jangka masa yang pendek, mungkin sesetengah penghafaz al-Quran mengambil masa satu tahun setengah untuk menghafaznya namun belum tentu mereka dapat mengingati keseluruhan tiga puluh juzu’ tersebut dalam jangka masa tersebut, untuk mengingati keseluruhan al-Quran ia memakan masa yang lama dan ianya juga bergantung kepada para penghafaz al-Quran itu sendiri bagaimana cara mereka menjaganya.
Terkenang daku kepada salah seorang guru al-Quranku, al-Fadhil Ustaz Hanizam Fansuri al-Hafiz, orangnya biasa sahaja, dalam sehari tidak pernah aku melihat dia mengulang Quran kecuali ketika berada di dalam kelas, namun rahsia dia mengulang al-Quran terbongkar apabila gurunya didatangkan untuk melawat kami, gurunya membongkarkan rahsianya bahawa dalam masa sehari dia mengulang sebanyak tujuh juzu’ al-Quran secara ghaib. Aku sendiri pelik apabila mendengarnya, ketika mana dia mengulang al-Quran sedangkan tidak pernah aku dan rakan-rakan yang lain melihatnya mengulang al-Quran, kami boleh dikatakan dua puluh empat jam bersama. Rupa-rupanya dia telah mempraktikkan dalam satu masa dia akan membuat dua pekerjaan, dengan erti kata lain dalam masa dia berborak dengan kami dia akan mengulang hafazannya, ketika dia ligat menggelecek bola di padang dia juga akan mengulang hafazannya. Semoga Allah memberkatimu dan ahli keluargamu wahai guruku.
Firman Allah di dalam Hadis Qudsi :
من شغله القرءان و ذكرى عن مسألتي أعطيته افضل ما أعطي ألسائلين
وفضل كلام الله على سائر الكلام كفضل الله على خلقه
“Siapa yang sibuk dengan al-Quran dan mengingatiku daripada meminta-minta kepadaku, akan aku berikan sesuatu yang lebih baik daripada sesiapa yang meminta, Keutamaan Kalam Allah (al-Quran) atas segala kalam adalah seperti keutamaan Allah atas segala makhluknya”.
(Tirmidzi, katanya Hadis Hasan Gharib)
Sabda RasuluLlah s.a.w.
من قرأ القراءن وعمل بما فيه ألبس الله والديه تاجا يوم القيامة
ضوؤه أحسن من ضوء الشمس فى بيوت الدنيا فما ظنكم بالذي عمل هذا
“Sesiapa yang membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, Allah akan memakaikan kedua ibubapanya sebuah mahkota yang cahanya lebih terang dari cahaya matahari di dunia, apakah pendapatkamu kepada sesiapa yang mengamalkannya pula”.
(Abu Daud)
Maka berbahagialah para penghafaz dan pengamal al-Quran, kerana Allah dan Rasul-Nya telah menjanjikan sesuatu yang istimewa kepada kamu, semoga aku tergolong dalam golongan tersebut. Ya Allah ya Tuhanku, jadikanlah al-Quran sebagai rakanku di dunia, di kubur sebagai penemanku, dia akhirat sebagai syafaat kepadaku dan hujjah bagiku bukan ke hujjah ke atasku, di atas sirat sebagai cahaya, ke syurga sebagai sahabatku dan hijab bagiku daripada api neraka. Amin
Dedikasi untuk semua guru Quranku, jasa kalian tidak akan aku lupakan, semoga Allah memberkatimu dan ahli keluargamu
Al-Fadhil Ustaz Salleh Sani al-Hafiz, al-Fadhil Ustaz Nordin al-Hafiz, al-Fadhil Ustaz Zainuddin al-Hafiz, al-Fadhil Ustaz Zamrus al-Hafiz, al-Fadhil Ustaz Zakwan al-Hafiz, al-Fadhilah Ustazah Anisah al-Hafizah, al-Fadhil Ustaz Faizol al-Hafiz, al-Fadhil Ustaz Anwar al-Hafiz, al-Fadhil Ustaz Nurul Naim al-Hafiz, al-Fadhil Ustaz Zahari al-Hafiz, al-Fadhil Ustaz Yusuf al-Hafiz, al-Fadhil Ustaz Ramly al-Hafiz, al-Fadhil Ustaz Fadullah al-Hafiz, al-Fadhil Ustaz Fazlul Rahimi al-Hafiz, al-Fadhil Ustaz Hanizam Fansuri al-Hafiz, al-Fadhil Ustaz Riduan al-Hafiz dan al-Fadhil Ustaz Abdul Jalal al-Hafiz.
WaLlahu a’lam

1 comments:

waleed said...

assalamualaikum anak didikku..teruskan pencarian mu itu walau terpaksa merentasi lautan dan benua. Daku titipkan doa agar dikau temuinya kelak sebelum kau temui noktahnya..

MZMA, gurumu..