Ayahanda di samping Bonda dan Mek ketika menunaikan fardhu Haji
Ayahanda,
Aku
tahu akan bebanmu sebagai pemimpin keluarga serta tiang seri dari bangunan
keluarga, kau sentiasa akan berusaha untuk menahan setiap hujungnya, agar
keluarga kita merasa aman, teduh dan terlindung. Aku juga tahu Allah telah
menciptakan bahumu yang kuat dan berotot untuk membanting tulang menghidupi
seluruh keluarga kita dan dari kegagahan itu juga kau cuba untuk melindungi
seluruh keluarga kita.
Ayahanda,
Kemahuan
pada dirimu terlalu utuh membuatkan kau selalu berusaha mencari sesuap nasi
yang berasal dari titisan keringatmu sendiri yang halal lagi bersih, agar
keluarga kita tidak terlantar, walaupun seringkali kau dalam keadaan kelaparan.
Keperkasaanmu dan mental baja telah membuat dirimu pantang menyerah, demi
keluarga kita, kau merelakan kulitmu tersengat panasnya matahari, demi keluarga
kita, kau merelakan badanmu berbasah kuyup kedinginan dan kesejukan kerana
tersiram hujan dan dihembus angin, kau relakan tenaga perkasamu dicurahkan demi
keluarga kita, dan yang selalu kau ingat, adalah disaat semua ahli keluarga
kita menanti kedatanganmu dengan mengharapkan hasil dari jerih-payahmu.
Ayahanda,
Aku
tahu bahawa kesabaran, ketekunan serta kesungguhan telah membuatkan dirimu
selalu berusaha merawat dan membimbing keluarga kita tanpa adanya keluh kesah,
walaupun disetiap perjalanan hidupmu keletihan dan kesakitan kerapkali
menyerangmu. Aku juga tahu perasaan cekal dan gigih untuk berusaha dan berjuang
demi mencintai dan mengasihi keluarga kita, di dalam suasana dan situasi apapun
juga, walaupun aku dan ahli keluarga kita kadangkala melukai perasaanmu,
melukai hatimu. Sedangkan perasaanmu itu yang telah memberikan perlindungan
rasa aman pada saat dimana aku tertidur lelap. Sentuhan perasaanmu itulah yang
memberikan kenyamanan kepadaku diwaktu kau sedang menepuk-nepuk bahuku agar
selalu saling menyayangi dan saling mengasihi sesama ahli keluarga.
Ayahanda,
Kebijaksanaan
dan kemampuan padamu untuk memberikan pengertian dan kesedaran terhadapku
tentang saat kini dan saat mendatang amat berguna buatku. Kebijaksanaan dan
kemampuan itu juga telah memberikan pengetahuan dan menyedarkanku, bahawa anak
yang baik adalah anak yang tidak jemu mendoakan kedua ibubapanya, anak yang
baik adalah anak yang sentiasa mendengar nasihat kedua ibubapanya dan anak yang
baik adalah anak yang berbakti kepada kedua ibubapanya.
Ayahanda,
Kerutan
diwajahmu menjadi bukti, bahawa kau sentiasa berusaha sekuat daya fikirmu untuk
mencari dan menemukan cara agar keluarga kita dapat hidup di dalam keluarga
bahagia dan badanmu pula membuktikan, bahawa sebagai pemimpin yang
bertanggungjawab terhadap seluruh keluarga kita, kau sentiasa berusaha
mencurahkan sekuat tenaga serta segenap perasaan, kekuatan dan kesungguhanmu
demi kelanjutan hidup keluarga kita. Tanggungjawabmu sebagai pemimpin keluarga,
sebagai tiang seri telah dapat kau pergunakan dengan sebaik-baiknya. Dan hanya
inilah kelebihan yang dimiliki olehmu ayahanda. Jutaan terima kasih buatmu
ayahandaku..
SALAM
SANAH HELWAH BUAT AYAHANDA ABD RAHMAN BIN MOHAMED
0 comments:
Post a Comment