Pages

Friday, May 15, 2009

Selamat Hari Lahir Ummi


Bersama Ummi dan Ayah pada Hari Konvokesyenku di Darul Quran

Minggu lepas sahabat aku bertanya kepada aku, “Solihin enta dah wish ke kat mak enta?’, aku bertanya kepadanya “Wish apa ye?”, “ Wish Hari Ibu”, jawab sahabatku. Bukanlah sengaja bagiku tidak mahu mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada Ummi yang tercinta, tetapi pada bulan ini ada hari yang lebih bermakna bagiku untuk kedua ibubapaku, lebih-lebih lagi Ummi. Bagiku bulan Mei terdapat banyak tarikh penting yang perlu aku ingat...

Hari ini merupakan Hari Lahir Ummi yang ke 56, oleh kerana Hari Ibu juga pada bulan Mei, maka aku lebih berminat untuk memilih Hari Lahir Ummi untuk aku ucapkan pada Ummi yang tercinta. Teringat aku ketika aku berhajat untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Iman, Yaman setelah aku gagal dalam temuduga untuk menduduki tempat di Universiti Islam Madinah. Ibu dan Ayah membantah sekeras-kerasnya sehingga aku melukakan hati mereka berdua kerana sikapku yang acuh tidak acuh itu. AlhamduliLlah, Allah masih menyayangiku dan Dia telah menyedarkanku bahawa sikapku itu sudah membawaku ke lembah penderhakaan, -na’udzubiLlahi min dzalik-.



Setelah aku sedar akan sikapku yang sudah terlanjur dari batas syari’at, maka sejak dari hari itu aku langsung tidak membuka cerita mengenai keinginanku untuk menyambung pelajaran. kepada Ummi dan Ayah, sebaliknya aku mula mencari kerja dan AlhamduliLlah aku diterima masuk untuk mengajar di sebuah sekolah swasta di Ampang. Bulan Ramadhan yang mulia semakin hampir dan aku pula ditugaskan untuk memimpin Solat Sunat Tarawikh di salah sebuah Rumah Allah Hulu Kelang bersama sahabatku di sana. Di taqdirkan oleh Allah, pada malam pertama Solat Sunat Tarawikh, Ummi dikejarkan ke Hospital Damai setelah Along memaksa Ummi pergi setelah dua hari Ummi menahan kesakitan akibat diserang penyakit Batu Karang. Aku hanya mendapat tahu berita itu sebaik sahaja aku menyelesaikan Solat Sunat Tarawikh. Aku terus bergegas ke Hospital Damai dari Hulu Kelang untuk melihat keadaan Ummi disana. Setelah dua hari Ummi di Hospital Damai, Ibu telah menjalani satu pembedahan di sana dan bermalam selama bebrapa di sana ditemani adikku, Atam.

Pada suatu pagi sekitar pukul 4 pagi, Atam yang menjaga Ummi di Hospital Damai menghubungi Along dan menyatakan Ummi harus dipindahkan ke wad I.C.U. Hospital Besar Kuala Lumpur. Seluruh keluarga kami menjadi gempar, aku, Ayah, Along dan Uda terus bergegas kesana untuk mengetahui keadaan lebih lanjut. AlhamduliLlah Ummi masih dalam keadaan sedarkan diri dan hanya memerlukan rawatan rapi di HBKL kerana di Hospital Damai tidak mempunyai alatan yang cukup untuk merawat Ummi. Anjang yang berada di Lubnan ketika itu kerana ditugaskan sebagai Misi Pengaman di sana juga balik kerana khuatir akan keadaan Ummi. Hampir sebulan juga sepanjang bulan Ramadhan Ummi di unit Rawatan Rapi HBKL. Dua hari sebelum berlansungnya Hari Raya Eidil Fitri, Ummi sudah dibenarkan pulang, dan Hari raya kami pada tahun ini boleh dikatakan meriah kerana seluruh ahli keluarga ku menyambutnya di sini. Di HBKL juga Ummi telah menjalani beberapa pembedahan untuk mengeluarkan Batu Karang tersebut.


Peristiwa ini telah memberiku suatu pengajaran yang cukup bagiku. Jika aku ketika itu berada di Yaman, betapa sedihnya aku ketika itu dan betapa bersalahnya aku waktu itu kerana mengingkari kata-kata Ummi dan Ayah. AlhamduliLlah perkara itu tidak berlaku. Benarlah kata-kata pujangga “Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya”. Nabi yang mulia pernah bersabda supaya berbakti kepada Ibu, kemudian Ibu, kemudian Ibu dan kemudian barulah berbakti kepada Ayah. Ini telah menunujukkan bahawa Ibu kita adalah manusia kedua yang perlu kita sayangi, cintai, kasihi dan yang sewaktu dengannya selepas RasuluLlah S.A.W. Kemudian insan yang ketiga adalah Ayah.

Di kesempatan ini aku mengucapkan Selamat Hari Ibu dan Selamat Hari Lahir buat Ummi yang tercinta… Ampunilah dosaku, halalkan makan minumku terutama air susu yang engkau telah berikan padaku sewaktu aku kecil dahulu kerana itulah makanan yang pertama aku jamah setelah hidup di dunia dan doakanlah aku berjaya di dunia dan akhirat…


Hari ini juga ketika aku berumur 20 tahun (15 Mei 2004), keluargaku telah meraikan Hari Ulangtahun Perkahwinan Ummi dan Ayah yang ke 30, maka hari ini juga merupakan Hari Ulangtahun Perkahwinan Ummi dan Ayah kali ke 35. Kenangan menyambut Hari Ulangtahun tersebut, akan terus terpahat dihatiku sampai bila-bila. Walaupun perancangan kami antara adik-beradik tidak dapat diuruskan dengan sebaik mungkin kerana masing-masing sibuk dengan tugas masing-masing, namun sambutan itu telah berjaya mencapai matlamat kerana ianya telah memberi kejutan kepada Ummi dan Ayah seterusnya membuat mereka terharu akan sambutan itu. Aku tidak tahu adakah pada tahun ini adik-beradikku akan meraikannya atau tidak, tanpa kehadiranku dan Uda di tanah air kerana masih berjuang dalam jihad ilmu di Timur Tengah. Jika mereka meraikannya tentunya perasaan sedih akan menyelubungi seluruh ahli keluargaku kerana tanpa kelibat kami berdua.

Tanpa Ummi dan Ayah, siapalah aku? Di dalam al-Quran juga telah menyatakan bahawa janganlah sesekali kamu mengatakan kepada mereka perkataan ‘uf’ kepada kedua Ibubapamu, dan katakanlah kepada mereka dengan perkataan yang lembut. Happy Anniversary to my beloved parent. Di sini sukalah aku memohon restu dan doa mereka agar aku dan seluruh adik beradikku sentiasa diredhai oleh mereka kerana Redha Allah itu terletak pada redha dua ibubapa, ampunilah dosa kami, halalkan makan minum dan doakanlah kami berjaya di dunia dan akhirat…


Tidak lupa untuk juga aku mengucapkan Selamat Hari Guru buat semua guruku-guruku yang telah banyak mendidikku menjadi insan berguna dan kepada seluruh warga pendidik, Selamat Hari Guru aku ucapkan. Tidak lupa juga ucapan Selamat Hari Lahir juga buat guruku Al-Fadhil Syeikh Hanizam Fansuri al-Hafiz (13 Mei) dan Al-Fadhil Ayahanda Ustaz Abdul Jalal al-Hafiz (24 Mei).

WaLlahu a'lam...

1 comments:

نذر الأفندي بن عبد الغني said...

Assalamualaikum...

1. Terima kasih sebab jemput aku jenguk blog engkau. (mula-mula http://alfaateh06.blogspot.com/ boleh pula ada iklan suruh ke sini. aduhai... T_T)

2. Tahniah, tua setahun sudah engkau rupanya :D

3. Aku ada benda nak ditulis, tapi tak dapat nak diluahkan dalam tulisan. Jadi, takpe lah. Itu saja. Buat masa ini, pesan aku, belajar rajin-rajin. Jangan hampakan mak bapak kita...