Pages

Wednesday, May 6, 2009

SUDAHKAH ANDA BERSEDIA???

Hampir setengah purnama juga aku tak menulis dek kerana peperiksaan (bukan final exam lagi) yang aku hadapi disamping membantu rakan-rakan menjayakan Karnival Sukan Mahasiswa Malaysia SeJordan kali ke II (KARISMA ’09 Mu’tah) yang baru sahaja menutupkan tirai pada 2 Mei lalu. Dengan bertemakan ‘Saya Datang Kerana Ukhwah”, aku harap tema ini memberi kesan yang mendalam kepada semua atlet-atlet yang terlibat. Letih tidak terkata. Aku AJK kecil ni pun letih apatah lagi Pengarah Program. Apapun tahniah buat seluruh kontijen dari Mu’tah khusus buat ahli bayt aku, Bayt Malizie, kerana berjaya membantu kontijen Mu’tah meraih Emas di samping mempertahankan kejuaraan dalam acara bola sepak dan badminton dari dirampas oleh mantiqah lain.

Bila sebut peperiksaan, maka aku pun bertungkus-lumus untuk memastikan diriku bersedia dengan segala soalan yang bakal keluar dalam peperiksaan. Mengharapkan mendapat soalan bocor, ataupun membuat kajian soalan-soalan dahulu disamping mengjangka soalan yang bakal keluar. Kecewa akan menyelubungi sekiranya soalan yang dijangka keluar tidak menunjukkan batang hidungnya, tapi selalunya soalan jangkaan aku selalu keluar, kadang-kadang sahaja ianya tak menepati sasaran. AlhamduliLlah...


Bila sebut soalan bocor, terkenang aku soalan yang memang sudah lama bocor hatta budak sekolah rendah pun tahu menjawabnya, soalan tersebut ada lima soalan,

1. Siapakah Tuhan kamu?
2. Siapakah Nabi kamu?
3. Siapakah Imam kamu?
4. Apakah Qiblat kamu?
5. Siapakah saudara-saudara kamu?

Rasa-rasanya soalan itu nanti mampu atau tidak kita menjawabnya. Sudahkah kita bersedia untuk menjawabnya. Apakah persediaan kita untuk menjawabnya. Sekali difikirkan soalan itu memang mudah untuk dijawab di dunia tapi tidak semudah kita fikirkan apabila kita berhadapan dengan Malaikat Munkar dan Nakir nanti yang amat terkenal dengan kebengisannya. Bayangkanlah keadaan kita di sana nanti. Orang yang tidak menunaikan solat, disediakan baginya seekor ular yang panjangnya sebulan perjalanan di alam barzakh nanti. Ya Allah jauhi kami dari azabmu. Tidak dapat aku bayangkan sekiranya soaln itu tidak mampu aku jawab. Sudah tentulah aku akan diazab dengan dahsyatnya. Ya Allah jauhi aku dari azab-Mu.

Sejauh mana kita telah membuat persediaan untuk bekalan di hari muka. Kadang-kadang berborak dengan kawan-kawan yang agak sosial, bila tiba waktu solat, maka seribu satu alasan yang diberi oleh mereka, sampai kadang-kadang terpacul dari mulut mereka, “Kubur lain-lain, apa kau susah”. Apa lagi hendak dikata. Takut juga nanti bila dipersoalkan di akhirat kelak, pernahkah cuba membawa mereka kepada kebaikan. Itulah dunia sekarang, umat Islam semakin jauh dari agamanya. Barat semakin bongkak untuk memperbodohkan umat Islam. Sedarlah wahai umat Islam...

Mati bukan perkara yang kita boleh tahu bila, sampai ajal maka seseorang tu akan mati jua. Maka sebelum tibanya ajal menjemput, adakah persediaan kita telah cukup untuk bekalan bukan sahaja di alam barzakh tapi juga di alam akhirat yang mana di sana nanti tidak berguna langsung harta dan anak pinak. Yang bebahagia ketika itu hanya mereka yang berjumpa Allah dengan hati yang sejahtera. Sudahkah kita semua bersedia untuk berjumpa dengan Allah? Apakah bekalan yang bakal kita bawa? Adakah bekalan itu sudah mencukupi bagi kita? Sudah cukupkah iman di dada? Sudah cukupkah mengabdikan diri kepada Allah? Sudah cukupkah taubat kita? Nabi yang mulia yang terhindar dari segala dosa pun memohon ampun tujuh puluh kali dalam sehari. inikan pula kita. Sudah cukupkah berbakti kepada kedua ibubapa? Seribu satu soalan yang perlu kita jawab di dunia ini sebelum tiba hari muka yang menyaksikan lebih banyak soalan yang bakal ditanya.

Di sini sukalah aku berpesan pada diriku dan kalian para pembaca, perbaikilah dirimu di samping menyeru orang lain ke arah kebaikan. Sebuah pepatah ada menyatakan, ‘Beribadatlah seperti kamu hendak mati besok dan kerjakan urusan duniamu seakan-akan kamu hendak hidup seribu tahun’. Guruku pernah berpesan niatkan sebelum kau menunaikan solat, bahawa solat ini adalah solat terakhir buatmu, kerjakanlah ia dengan sepenuh hatimu kerana mungkin selepas ini kau akan dijemput menemui Ilahi.
Adakah anda sudah bersedia? Tepuk dada tanya Iman.
WaLlahu a’lam.


Sabarlah wahai adikku Azhar bin Zakaria, Allah sedang mengujimu. Sekarang beliau terlantar di PPUM kerana penyakit apendiks, megharapkan doa kalian untuknya.

0 comments: